Pilihanraya Sarawak: 'Pakatan Harapan jadi caca-marba di Sarawak' - Najib

Wan Syamsul Amly
April 28, 2016 23:17 MYT
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memberikan kata-kata semangat kepada jentera Pilihan Raya Negeri Dewan Undangan Negeri N06 Tupong di Dewan Masyarakat Kampung Pinang Jawa (Gita), malam ini. - Foto Bernama
Gabungan Pakatan Harapan tidak konsisten dalam kerjasama seperti di negeri yang diperintah berbanding dengan di Sarawak.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, sikap curiga-mencurigai yang jelas semasa musim Pilihan Raya Negeri (PRN) membuktikan ketidakikhlasan masing-masing terserlah.
Katanya, ia sekali gus menjadikan mereka selama ini hanya bermain sandiwara politik dengan rakyat.
"Lihat pembangkang caca marba di Sarawak. PKR lawan DAP, PAS lawan PKR, di Selangor mereka satu kerajaan di tempat lain bertentangan.
"Pembangkang curiga-mencurigai antara satu sama lain, mereka tiada pakatan ikhlas dan kukuh, semuanya mainan sandiwara politik sahaja.
"Kita tidak boleh menggantung masa depan kita, kalau ia rapuh, kita tidak boleh menggadai masa depan, masa itu sudah terlambat, jangan kita termakan janji indah pembangkang," katanya semasa berucap pada Majlis Bersama Jentera PRN DUN N06 Tupong di sini hari ini.
Dalam pada itu, Najib turut melahirkan keyakinan rakyat Sarawak akan memberi sokongan kepada BN sekali gus menubuhkan kerajaan majoriti pada 7 Mei depan.
"Kita mahu adakan kerajaan yang kukuh dan mempunyai wakil semua kaum secara inklusif, kita mahu kerajaan yang terbukti trek rekodnya selama ini, kita mahu mensejahterakan rakyat, baik dengan Kerajaan Pusat dan bawa Sarawak ke hadapan dan ke peringkat lebih tinggi lagi.
"Kalau semua kata ya, maka semua kehendak rakyat Sarawak itu akan dipenuhi BN, kita bukan sahaja membawa harapan baru tetapi membawa transformasi kepada Sarawak.
"Kita lihat infrastruktur dan perubahan ketara di Sarawak, ia termasuk Projek Pan Borneo yang bernilai RM16 bilion," ujarnya.
Proses pengundian bagi 80 kerusi DUN Sarawak bakal berlangsung 7 Mei ini dengan dua lagi kerusi telah dimenangi calon BN tanpa bertanding pada hari penamaan calon.
#Adenan Satem #Barisan Nasional #BN #Najib Razak #PBB #pilihan raya Sarawak #PRN-11 #sarawak2016 #SPR #Suruhanjaya Pilihan Raya #Tupong
;