Pilihanraya Sarawak: DAP musuh utama kami, namun segala isu telah diselesaikan - Adenan

Harits Asyraf Hasnan
April 28, 2016 22:18 MYT
ADENAN: Isu-isu nasional, seperti 1MDB tidak relevan di negeri Sarawak. - Foto Astro AWANI
Barisan Nasional (BN) Sarawak mengakui DAP merupakan musuh utama yang perlu dihadapi mereka pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak kali ini.
Bagaimanapun, Pengerusinya, Tan Sri Adenan Satem berkata segala isu-isu tempatan yang dibangkitkan DAP telah dapat diselesaikan.
"Segala isu-isu yang dibangkitkan oleh DAP, kami telah dapat selesaikan. Oleh sebab itu mereka terpaksa mengetengahkan isu-isu nasional.
"Tapi isu-isu nasional, seperti 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tidak relevan di negeri Sarawak.
"Sekarang mereka (DAP) seperti tidak mampu untuk mengetengahkan isu tempatan," kata Ketua Menteri Sarawak itu ketika temubual eksklusif bersama Editor Eksekutif Astro AWANI, Kamarul Bahrin Haron dalam rancangan Agenda AWANI Khas yang disiarkan Astro AWANI malam ini.
Tambah Adenan, DAP sering melaungkan seolah-olah parti itu merupakan parti pelbagai kaum, namun kenyataan DAP itu tidak seperti dengan apa yang dimomokkan.
"Mereka kata mereka merupakan parti pelbagai kaum, tapi kalau kita tengok boleh dikatakan semua pemimpin DAP itu berbangsa Cina.
"Penduduk di Sarawak mahu parti Sarawak yang mentadbir negeri ini, dan bukan parti dari Semenanjung," katanya.
Proses pengundian bagi 80 kerusi DUN Sarawak bakal berlangsung 7 Mei ini dengan dua lagi kerusi telah dimenangi calon BN tanpa bertanding pada hari penamaan calon.
Ikuti temubual eksklusif bersama Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem.
#Adenan Satem #Agenda Awani #Barisan Nasional #BN #PBB #pilihan raya Sarawak #PRN-11 #sarawak2016 #SPR #Suruhanjaya Pilihan Raya
;