Pilihanraya Sarawak : Cabaran perhubungan buat penduduk dan bakal Adun
Tan Su Lin
Mei 2, 2016 13:36 MYT
Mei 2, 2016 13:36 MYT
Disebabkan faktor geologi dan kawasan yang begitu luas di Sarawak, isu perhubungan masih menjadi cabaran kepada penduduk di kebanyakan kawasan pedalaman negeri itu.
Di Sarawak tengah, umpamanya, perjalanan dari Sibu ke Matu di Mukah, memerlukan perjalanan darat dan dua buah feri yang mengambil masa kira-kira tiga jam.
Dari Sibu, krew Astro AWANI bergerak ke pengkalan Batang Paloh yang mengambil masa kira-kira sejam perjalanan melalui darat.
Sampainya di jeti, kami kemudian menaiki feri merentasi Sungai Paloh sebelum menyambung perjalanan di darat.
Kami seterusnya menariki feri kedua dari pengkalan Feri Muara Lassa.
Masa perjalanan menggunakan feri berkenaan kira-kira setengah jam merentasi Sungai Lassa yang begitu luas sebelum kami akhirnya tiba di Matu, Mukah.
Hakikatnya, inilah perjalanan yang terpaksa penduduk tempuhi setiap kali jika ingin ke bandar Sibu.
Menurut Yahya Samsu, 36, yang juga dalam perjalanan ke kampungnya di Tian, Matu, musim perayaan keadaan feri terutamanya akan sesak.
"Susah memang susah cabaran dia sebab kita menggunakan feri yang turut dipengaruhi faktor cuaca. Kalau cuaca tidak elok tidak dapat naik feri, sini ada gelombang. Jadi memang jauh dari penempatan apabila musim perayaan, memang jauh lah dari Sibu ke Matu," katanya.
Untuk pulang ke bandar Sibu, kami juga terpaksa menggunakan laluan yang sama, bermakna untuk ulang alik ke Matu sahaja ia mengambil masa setengah hari.
Dari Sibu ke Matu, Mukah, ia mengambil masa kira-kira 3 jam perlu menggunakan jalan darat dan bot di mana anda perlu naik feri dua kali untuk sampai ke Matu.
Ini menunjukkan betapa luasnya Sarawak ini dan isu perhubungan adalah cabaran dan musuh kepada calon-calon dalam bukan sahaja berkempen tetapi sebagai ADUN jika terpilih nanti.
*Untuk kisah-kisah rakyat Sarawak seperti yang dipaparkan wartawan Tan Su Lin dan liputan menyeluruh Sarawak Memilih, ikuti kami di saluran berita segenap dimensi 501 Astro AWANI atau layari sahaja astroawani.com. Anda juga boleh muat turun aplikasi Astro AWANI.