Pilihanraya Sarawak: Cabaran calon muda tangani persepsi pengundi 'otai'
Harits Asyraf Hasnan
Mei 2, 2016 08:39 MYT
Mei 2, 2016 08:39 MYT
Cabaran paling besar yang harus diharungi muka-muka baharu dalam pilihan raya bukan sahaja untuk memenangi hati pengundi-pengundi yang seusia mereka.
Malah, cabaran yang lebih besar adalah untuk memperkenalkan diri mereka, menunjukkan kecekalan dan memikat pengundi lebih berusia atau 'otai' yang secara umumnya lebih konservatif.
Bagi calon Barisan Nasional (BN) N.06 Tupong, Fazzrudin Abdul Rahman, memperkenalkan dirinya dengan membawa aspirasi orang muda kepada pengundi veteran menjadi antara cabaran di kawasan yang ditandinginya itu.
"Cabaran kepada calon muda dan mana-mana calon baharu adalah bagi kami untuk memperkenalkan diri dan meyakinkan pengundi kami berkenaan kemampuan kami.
"Bukan itu sahaja, kami perlu maklumkan apakah rekod pencapaian kami, pengalaman kami dan apa yang kami boleh bawa untuk menjadi seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang lebih baik," katanya ketika ditemui Astro AWANI semalam.
Anak muda berusia 41 tahun itu yang merupakan Bekas Setiausaha Politik Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof turut mengakui gerak kerja kempen yang didokong oleh jentera BN telah dimulakan sejak lama dahulu.
"Alhamdulillah, setakat ini sambutan amat positif sekali. Disebabkan kerja kuat jentera kami, maka kami dapat mendekati pengundi dan saya mengambil kesempatan itu untuk mengikuti program yang telah ditetapkan oleh jentera-jentera kami," ujarnya.
Sementara itu, Fadillah yang juga merupakan Naib Yang Di Pertua (Pemuda) Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berkata, calon muka baharu yang ditampilkan BN pada kali ini telah lama berkhidmat di kawasan yang ditandingi.
"Tetapi alhamdulillah, calon-calon muda BN termasuk Fazzrudin sebenarnya sudah lama memberi sumbang bakti di kawasan Tupong dan Petrajaya secara umumnya selaku setiausaha politik saya dahulu.
"Saya kira orang telah kenal dia, mungkin orang belum biasa dengar dia bercakap sebab dia dulu bekerja di belakang tabir. Namun kejayaan saya dahulu adalah hasil kerja kami sebagai satu pasukan," jelas Fadillah.
Namun, tegasnya calon muda perlu berusaha untuk lebih ke hadapan bukan hanya untuk mengambil hati pengundi, tetapi menunaikan janji menerusi agenda pembangunan negeri Sarawak.
Sementara itu, bagi beberapa calon muda PAS, mereka mengakui tidak berdepan cabaran dalam memperkenalkan diri mereka kepada pengundi.
Malah, selepas tujuh hari berkempen, penduduk setempat kini telah menerima agenda yang dibawakan oleh PAS.
Bagi calon PAS N.16 Muara Tuang, Zulkipli Ramzi, PAS sentiasa fokus dalam melaksanakan pelbagai program sejak 2011 dan hingga kini dianggarkan hampir 90 peratus penduduk di Parlimen Kota Samarahan telah mengenali calon-calon yang bertanding.
“Dari segi memperkenalkan diri tu tiada masalah, kita sentiasa fokus. Kita buat pelbagai program di kampong-kampung, bersama badan-badan bukan kerajaan (NGO).
“Kita juga buat misi bantuan kemanusiaan dan dari segi itu Alhamdulillah di Kota Samarahan hampir 90 peratus kenal dengan calon,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Sementara itu, bagi seorang lagi calon muda PAS, Yusof Ahmad Sharkawi, penerimaan pengundi terutama golongan veteran cukup memberangsangkan.
“Tidak terlalu banyak cabaran dan penerimaan masyarakat di sini sangat baik trerhadap calon yang muda.
“Program saya bermula awal subuh, kita pergi ke masjid-masjid bersama orang tua. Saya solat di surau pagi tadi dan kebanyakkannya orang tua, mereka minta saya jadi imam. Mungkin sebab dia tengok kita orang muda,” katanya.
Justeru, mereka berharap pengundi di kawasan yang ditandingi Pas akan memberi mandat kepada parti itu sebagai sebuah parti yang akan membuat semak dan imbang terhadap kerajaan negeri yang bakal terbentuk.
#BN
#Fazzrudin Abdul Rahman
#PAS
#pilihan raya Sarawak
#PRN-11
#sarawak2016
#Yusof Ahmad Sharkawi
#Zulkipli Ramzi