Pilihanraya Sarawak: BN yakin menang lebih 70 kerusi - Adenan
Noraida Abdul Kassim
April 30, 2016 13:36 MYT
April 30, 2016 13:36 MYT
Barisan Nasional (BN) Sarawak berkeyakinan tinggi akan mampu memenangi lebih daripada 70 buah kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke 11 pada 7 Mei akan datang.
Pengerusinya, Tan Sri Adenan Satem berkata, keyakinan itu timbul kerana melihat kepada hasil tinjauan yang beliau sendiri lakukan di seluruh negeri.
"Setelah saya meninjau dalam masa dua minggu ini dari permulaan negeri Sarawak sehingga ke hujung negeri, nampaknya rakyat negeri Sarawak masih percaya kepada Barisan Nasional.
"Dalam 82 kerusi, kita mungkin dapat lebih 70 kerusi,” kata Adenan dalam ucapannya ketika hadir ke majlis Pelancaran Projek Tebingan Sematan dan Pemuliharaan Sungai Sematan di Pekan Kecil Sematan pada pagi tadi.
Beliau yang juga Ketua Menteri Sarawak memohon agar semua dapat mendoakan agar kestabilan politik di negeri itu terus terjamin dan pengundi juga diseru agar berhati hati membuat pilihan bakal pemimpin bagi mentadbir negeri.
“Kita berdoa supaya Tuhan dapat makbulkan doa kita supaya ada kestabilan politik di negeri kita.
"Itulah sebabnya kita kena berhati-hati bila mengundi nanti ramai ramai turun mengundi, jangan lupa bawa kad pengenalan," katanya.
Disamping itu, Adenan yang juga calon BN bagi kerusi Dun N3 Tanjung Datu tidak ambil kisah dengan kata- kata buruk parti pembangkang kepada BN.
Parti pembangkang menurutnya hanya inginkan perhatian saja.
"Mereka pembangkang, jangan dipedulikan.
"Saya hendak mengata pembangkang pun saya tak hendak. Kerana apa? Tiada guna. Kalau kita selalu sebut mereka, mereka akan jadi lebih sombong,” katanya lagi.
Pada Majlis berkenaan, beliau turut membuat penyampaian Warta Rizab Komunal Bumiputera dan Surat Hakmilik Tanah daerah kecil Sematan kepada lebih 300 penerima
Turut hadir isteri Ketua Menteri Puan Sri Jamilah Anu serta Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Proses pengundian bagi 80 kerusi Dun Sarawak bakal berlangsung 7 Mei ini dengan dua lagi kerusi telah dimenangi calon BN tanpa bertanding pada hari penamaan calon pada Isnin.
Untuk liputan menyeluruh Sarawak Memilih, ikuti kami di saluran berita segenap dimensi 501 Astro AWANI atau layari sahaja astroawani.com