Pilihanraya Sarawak: Beri Adenan mandat lima tahun lagi - Najib

Noor Aida Abdul Kassim
April 28, 2016 13:26 MYT
Najib (kiri) beramah mesra bersama penduduk ketika melakukan tinjauan mesra di Pekan Siburan, hari ini. -Foto Bernama
Rakyat Sarawak perlu memberi mandat lima tahun lagi kepada Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem bagi membolehkan lebih banyak inisiatif pembangunan dilaksanakan.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, percaya, Adenan mampu melakukan lebih banyak dasar jika diberikan mandat yang lebih besar pada Pilihanraya Negeri Sarawak ke-11 kali ini.
Najib berkata, dalam tempoh dua tahun sebagai Ketua Menteri, Adenan mengumumkan banyak dasar dan inisiatif yang mesra rakyat seperti pemansuhan tol jalan raya, cukai tanah pertanian dan perumahan yang telah memberi impak besar kepada rakyat.
Menurutnya, demi rakyat Sarawak, beliau dan Adenan telah membuat aku janji untuk membawa lebih banyak lagi pembangunan untuk negeri itu.
Bagaimanapun, tegas Najib, aku janji yang dibuat itu berbeza dengan aku janji yang dibuat oleh pembangkang yang sebelum ini berjanji untuk meletakkan satu calon sahaja bagi setiap kawasan untuk menentang Barisan Nasional, BN.
“Sekiranya kalau mereka tidak ada persefahaman, mereka tidak ada unity, mereka tidak boleh bekerjasama, takkan mereka boleh mampu untuk menubuhkan kerajaan yang stabil untuk negeri Sarawak ini.
“Tidak payahlah kita berfikir panjang, kita hendak seorang wakil rakyat yang mewakili Barisan Nasional kerana BN telah membawa banyak perubahan kepada bumi kenyalang ini.
“Saya sebagai ‘apai besar’ Malaysia dan Tok Nan (Adenan) sebagai ‘apai besar’ Sarawak kami berikrar dan berjanji lima tahun akan datang akan lebih banyak perubahan akan berlaku untuk kesejahteraan rakyat negeri Sarawak,” kata Najib dalam ucapannya pada ‘Majlis Sembang Santai’ bersama komuniti dan ketua masyarakat Cina di Pekan Siburan, di sini, hari ini.
Najib turut membuat tinjauan mesra di gelanggang bola keranjang, klinik kesihatan Siburan dan Dewan Manggeng, di Sungai Duuh.
#Adenan Satem #Barisan Nasional #BN #Najib Razak #PBB #pilihan raya Sarawak #PRN-11 #sarawak2016 #Siburan #SPR #Suruhanjaya Pilihan Raya
;