Pilihan senyap rakyat Sarawak kukuhkan GPS

Rudi Affendi Khalik
Disember 19, 2021 16:32 MYT
Abang Johari (tengah) yang juga Pengerusi Gabungan Parti Sawarak (GPS) bersama pimpinan tertinggi parti meraikan kemenangan selepas GPS memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak.
KUCHING: Merentasi analisis, melangkaui ramalan, menangkis laporan awal lapangan.
Itu yang berlaku dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-12 Sarawak semalam.
Sarawak memilih dengan senyap bahawa Gabungan Parti Sarawak (GPS); di sebalik harum segarnya, telah terbenam ke dalam sanubari setiap warganya.
Tidak pernah terfikir, cadangan awal bahawa GPS hanya menang 65 kerusi, mampu menawan sehingga 76 kerusi -- terbesar dalam sejarah, hingga menukar sama sekali landskap politik negeri itu sejak PRN pertama pada 1969.
Malam tadi sumber risikan dan penganalisis menjadi bingung tatkala Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan daripada 1.2 juta pemilih yang berdaftar, hanya 60.67 peratus atau 759,627 yang menunaikan tanggungjawab mereka.
Mereka menuntut justifikasi di sebalik angka yang rendah itu. Namun menyedari situasi COVID-19; tiada usaha membawa pulang pemilih luar serta hujan yang turun mengukuhkan alasan keadaan menjadi sedemikian.
Namun tatkala keputusan diumumkan secara tidak rasmi, kalangan penganalisis terus hilang kata-kata.
Rupanya kritikan menggila dan dokongan kepada parti pembangkang di bawah sana, hanyalah angin lalu yang tidak mendasar.
Parti Sarawak Bersatu (PSB) yang diramal mencipta tsunami Dayak, karam sama sekali.
Parti itu hanya berjaya mengekalkan kerusi yang sebelum ini digenggam mereka. Presidennya, Datuk Seri Wong Soon Koh mencipta majoriti 913 undi di kubu kuatnya, Dun N53 Bawang Assan.
Dua hari sebelum itu, Soon Koh menjentik emosi pengikutnya apabila meminta isterinya, Datin Sri Pauline Leong mempengerusikan sidang media, merayu undi dengan sebak dan tangis.
Turut menang, Baru Bian di kerusi N.81 Ba'kelalan. Beliau menewaskan tiga pesaingnya dengan majoriti 680 undi. Naratif kempen Baru sebelum itu adalah untuk menjadikan Sarawak negeri sekular tanpa agama rasmi -- yang jelas memberi tamparan kuat kepada calon-calon lain parti itu yang beragama Islam.
PSB turut menang di N.33 Engkiliki, yang menyaksikan Dr Johnical Rayong Ngipa mempertahankan kerusinya dengan majoriti 1,191 undi, sambil See Chee How hampir dikecewakan calon GPS, Sih Hua Tong, yang kalah hanya 93 undi di DUN N.11 Batu Lintang.
Dua lagi kerusi dalam Parlimen Bandar Kuching ini yang digenggam erat pembangkang ialah kerusi N.9 Padungan yang dimenangi Chong Chieng Jen (DAP) dengan majoriti 1,198 undi manakala Violet Yong Wui Wui (DAP) hanya menang dengan majoriti 540 undi.
Makna di sebalik kekalahan teruk DAP ini sebenarnya diceritakan rakyat Kota Sentosa, yang sebelum ini menjadi kubu kuat DAP dan Chieng Jen.
Mereka muak dengan janji manis tidak tertunai, wakil rakyat tidak turun kawasan dan kegigihan wakil-wakil calon GPS turun padang, biarpun mereka bukan ADUN.
Situasi ini memberikan mereka gambaran jelas siapa yang harus dipilih, terutamanya kelompok atas pagar.
Faktor inilah yang mendorong DAP hilang Bukit Assek; Pelawan dan Kota Sentosa. Manakala Pending dan Padungan untuk seketika menghadirkan cemas.
Apa pun, rakyat Sarawak telah bersuara. Mereka mahu Abang Jo melaksanakan semua janji yang diangkat, memastikan rakyat diutamakan.
Mereka tidak kisah status Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), kerana ia soal pentadbiran, sebaliknya menuntut janji agar isu elektrik, air bersih, perparitan serta jalan dan internet, tidak berbangkit pada 2025.
Mereka memahami dengan siapnya Lebuh Raya Pan Borneo, Laluan Utama Kedua serta Rangkaian Jalan Pesisir akan mengubah cara hidup, dalam menghadapi ekonomi cara baharu; ekonomi digital.
Landskap politik juga berubah, dengan terbitnya set pembangkang yang baharu. Namun pengajaran daripada PRN ini cukup jelas; semakin banyak parti pembangkang, maka semakin sukar mereka hendak menikmati kemenangan. Dan ia berbeza jika mereka menaiki bahtera yang sama.
Sarawak telah memilih, kini tinggal Abang Jo sendiri untuk melakukan pilihan jentera kerajaannya.
#PRN Sarawak #pasca PRN Sarawak #GPS menang besar #pembangkang
;