Pilihan raya umum 'Deklarasi Rakyat' yang sebenar - Mubarak

Bernama
Mac 21, 2016 15:37 MYT
PRU merupakan deklarasi daripada rakyat yang dilaksanakan dalam bentuk undi bagi memilih mereka yang akan menjadi pemimpin negara dan cara itu berkesan dalam sistem demokrasi negara ini sejak sekian lama. - Gambar fail
Pilihan raya umum (PRU) merupakan 'deklarasi rakyat' yang sebenar dalam sistem demokrasi dan bukannya 'memungut' tandatangan demi mendapatkan sokongan menjatuhkan pemimpin negara, kata Presiden Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) Tan Sri Abdul Aziz Rahman.
Beliau berkata PRU merupakan deklarasi daripada rakyat yang dilaksanakan dalam bentuk undi bagi memilih mereka yang akan menjadi pemimpin negara dan cara itu berkesan dalam sistem demokrasi negara ini sejak sekian lama.
"Setiap PRU adalah deklarasi rakyat yang sebenarnya. Rakyat pangkah dan undi siapakah yang akan jadi wakil mereka dan (parti) yang menang majoriti akan menjadi kerajaan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Malam Pemantapan Mutiara Mubarak 4 di sini Ahad malam.
Majlis tersebut turut dihadiri bekas Ketua Menteri Melaka Tan Sri Dr Abdul Rahim Tamby Chik dan pemangku Yang Dipertua Mubarak Melaka Datuk Nazari Adzim.
Terdahulu Abdul Rahim dipilih sebagai Tokoh Mubarak Melaka 2016.
Sementara itu, Abdul Rahim berkata masyarakat digesa supaya tidak terpengaruh dengan berita atau maklumat yang dikaitan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam usaha menjatuhkan beliau seperti yang paparkan akhbar atau media dari luar kerana kesahihan tersebut boleh diragui dan dipertikaikan.
Sebaliknya beliau berkata masyarakat perlu fokus untuk melihat negara mencapai Wawasan 2020 dan menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi serta mereka berpeluang menikmati pelbagai kemakmuran termasuk peluang pekerjaan yang lebih baik melalui pelaburan negara yang meningkat.
#Abdul Aziz Rahman #Deklarasi Rakyat #Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia #pilihan raya umum
;