Pilihan raya: Suburkan proses demokrasi sebelum wajibkan mengundi - IDRIS
Hafizi Rosli
Oktober 1, 2021 12:25 MYT
Oktober 1, 2021 12:25 MYT
KUALA LUMPUR: Suburkan proses demokrasi terlebih dahulu sebelum memperhalusi cadangan mewajibkan pemilih supaya keluar mengundi.
Itu gesaan Pengerusi, Pertubuhan Pembangunan Antarabangsa dan Penyelidikan untuk Kelestarian (IDRIS), Datuk Nizam Mahshar yang mahu kerajaan segerakan proses pendaftaran automatik serta memastikan proses demokrasi secara terbuka tanpa halangan.
"Bagi saya ia tidak wajar jadi paksaan ataupun kita perlu pergi 'step by step'.
"Pertama kena buat pendaftaran secara automatik.
"Kedua adakah demokrasi kita sudah terbuka untuk terima pilihan politik lebih banyak dan kemudian barulah kita boleh bercakap mengenai memaksa orang dan kenakan tindakan kepada orang yang tidak mengundi," katanya dalam program AWANI Pagi pada Jumaat.
Pilihan Raya | Adakah relevan cadangan mewajibkan pengundian?
Jelas beliau, halangan kepada sistem demokrasi seperti kelulusan pendaftaran kepada parti baharu perlu dipermudahkan terlebih dahulu.
Ia bagi memastikan rakyat mempunyai kebebasan bagi membuat pilihan.
"Kalau kita nak pergi ke cadangan itu banyak perkara perlu diperhalusi contohnya membenarkan parti politik mendaftar dengan tiada halangan.
"Kalau tengok sejarah banyak parti politik seperti Bersatu, Pejuang, MUDA berdepan kesukaran untuk mendaftar parti.
"Jadi kita kena beri ruang demokrasi yang baik kepada pengundi untuk dapat pilihan yang tepat dan terbuka," jelasnya.
Namun beliau melihat, proses pengundian juga mestilah lebih efisien dan cekap bagi memudahkan pengundi. Ia termasuk cadangan pengundian secara digital.
"Kalau kita nak benarkan ia berlaku maka perlu bermula sekarang, jika minit akhir ia akan sukar untuk dilaksana.
"Sama ada wajar berlaku atau tidak, jika melihat kepada perubahan zaman maka kena fikirkan pilihan tersebut," ujarnya.
Jelasnya lagi, sekiranya semua perkara ini sudah dicapai, maka adalah relevan untuk membincangkan mengenai mewajibkan pemilih turun mengundi.