'Pilihan raya seperti menu makanan, lebih banyak pilihan lebih bagus'
Tan Su Lin
April 12, 2018 06:29 MYT
April 12, 2018 06:29 MYT
Fenomena lompat parti cukup sinomin dengan landskap politik di Sabah.
Terbaharu, seramai 150 ahli UMNO Sepanggar membuat keputusan untuk keluar parti dan menyertai Parti Warisan Sabah pimpinan Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.
Pensyarah Mohd Raheezal Shah menjangkakan biarpun fenomena itu bakal berlaku sepanjang tempoh pilihan raya ini, namun kemelut politik di UMNO bahagian itu tidak harus diambil mudah.
"Setiap pilihan raya umum pasti ada beberapa ahli yang akan bertindak keluar parti atau calon dari sesebuah parti keluar bertanding sebagai wakil parti lain dan sebaliknya.
"Namun di Sabah, parti yang dilihat lebih menonjol sekarang adalah Parti Warisan. Jadi, apa yang berlaku di Sepanggar, iaitu ahli-ahli UMNO yang masuk Warisan ini, pasti akan menjejaskan semangat ahli-ahli lain," katanya ketika ditemui Astro AWANI di sini pada Khamis.
Jelas tenaga pengajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sabah itu, apa yang mendorong tindakan ahli UMNO yang keluar parti didorong oleh pergelutan dalaman parti yang lahir daripada rasa tidak puas hati dengan kepimpinan bahagian parti berkenaan.
Namun lebih penting, menurut pensyarah Sains Politik dan Dasar Awam itu, adalah persoalan bagaimana ia membentuk corak pemilihan pengundi di Sabah?
Faktor calon vs parti bertanding
Berbeza dengan senario politik di Semenanjung Malaysia, ujar Mohd Raheezal, pengundi di Sabah tidak dipengaruhi oleh faktor parti sebaliknya lebih cenderung ke arah pemilihan calon bertanding.
"Aspek calon adalah yang paling ketara di sini. Hasil kajian juga menunjukkan faktor calon begitu penting berbanding parti.
"Mereka lebih mengutamakan calon. Contohnya, calon mana yang telah banyak tolong mereka, berbanding kesetiaan kepada parti.
"Ia bukan seperti di Semenanjung yang lebih kepada parti identifikasi. Tetapi di Sabah, sejarah parti politik sering terbentuk dengan banyak. Jadi kesetiaan parti itu mudah berubah," katanya.
Namun, beliau yakin pengundi Sabah dapat membuat pilihan terbaik.
"Dari konteks rakyat, lagi banyak pilihan lagi bagus. Macam di kedai contohnya, menu lagi banyak lagi bagus. Tetapi rakyat pun tahu menilai parti yang mereka rasa mampu bawa perubahan atau ia hanya wujud untuk perjuangkan sesetengah pemimpin," katanya.
Bagaimanapun yang pasti, dengan kewujudan banyak parti bertanding, ia bakal memecahkan undi pembangkang melawan Barisan Nasional pada PRU nanti.
"Cabaran pembangkang sekarang adalah mengurangkan sebanyak mungkin pertindihan kerusi bagi mengelakkan pertandingan pelbagai penjuru. Jika tidak, kemenangan pasti berpihak kepada BN," katanya.
Ketika ini terdapat tiga 'blok pembangkang' Sabah terdiri daripada Parti Warisan Sabah dan Pakatan Harapan; selain itu Parti Cinta Sabah (PCS) dan Gabungan Sabah yang disertai empat parti pembangkang tempatan iaitu Parti Solidariti Tanahairku (STAR), Parti Maju Sabah (SAPP), Parti Perpaduan Rakyat Sabah (PPRS) dan Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat).
#calon
#lompat parti
#MalaysiaMemilih
#Mohd Raheezal Shah
#pertandingan pelbagai penjuru
#pertindihan kerusi
#PRU14
#Sabah
#UMNO