Pilihan Raya Sarawak: 'Wakil kami nanti perlu tangani isu sosioekonomi' - Penduduk Pakan

Tan Su Lin
April 27, 2016 09:56 MYT
Rata-rata penduduk mahu melihat calon atau parti yang bakal mewakili suara mereka akan dapat meningkatkan taraf hidup penduduk dan bantu menjana sosio ekonomi mereka. - Foto Astro AWANI
400 kilometer dari bandaraya Kuching adalah rumah panjang George Anak Chunggut, Nanga Nansang yang terletak dalam bahagian Sarikei.
Biarpun banyak kemudahan asas telah dibawa ke daerah Pakan, termasuk jalan raya, bekalan air paip dan elektrik, namun banyak lagi perkara diperlukan penduduk di kawasan berkenaan.
Di sebalik pembangunan yang telah dilalui mereka, ada perkara yang masih menjadi isu khususnya dalam aspek menaik taraf hidup selain membantu golongan itu menjana sosioekonomi.
Bagi Jawat Anak Ujan, 69, kemudahan sedia ada tidak mencukupi bagi menampung penduduk ramai yang mendiami rumah panjang berkenaan.
"Di rumah panjang tidak ada banyak masalah. Kami sudah ada paip air. Cuma sebahagian rumah panjang ini belum lagi siap sepenuhnya dan jalan untuk kami berjalan ke sungai untuk mandi pula rosak," katanya.
Dari segi sosio ekonomi, penduduk menyifatkan keadaan mereka masih jauh ketinggalan.
Nuie Anak Tadong, 42, masih menanam padi dan lada untuk menyara keluarganya.
"Di sini ramai penduduk kampung adalah petani, menanam lada, menanam padi, menoreh getah dan menanam sayur. Menanam sayur untuk diri sendiri, bukan untuk dijual," katanya.
Linny Anak Meding, 35, mengeluh kesukaran mencari pekerjaan menyebabkan mereka terbeban dengan tanggungan seharian serta cabaran peningkatan kos sara hidup.
"Seperti saya sekarang keluarga besar saya dengan suami tidak ada kerja tetap. Saya terpaksa menjaga ahli keluarga yang sakit. Suami saya melakukan kerja-kerja buruh sahaja. Anak-anak hendak bersekolah dan sekolah duit datang dari mana?" katanya.
Rata-rata penduduk mahu melihat calon atau parti yang bakal mewakili suara mereka akan dapat meningkatkan taraf hidup penduduk dan bantu menjana sosio ekonomi mereka.
Rumah panjang George juga menempatkan rumah calon langsung Barisan Nasional (BN) Tan Sri William Mawan.
William yang merupakan penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pakan itu bakal menentang calon DAP Rinda Juliza Alexander dan calon bebas Dr Jawie Jingot dalam pertandingan tiga penjuru bagi merebut kerusi N.47 Pakan.
Proses pengundian bagi 80 kerusi Dun Sarawak bakal berlangsung 7 Mei ini dengan dua lagi kerusi telah dimenangi calon Barisan Nasional tanpa bertanding pada hari penamaan calon pada Isnin.
#Adenan Satem #Barisan Nasional #berita Malaysia #BN #Pakan #PBB #pilihan raya Sarawak #PRN-11 #sarawak2016 #SPR #Suruhanjaya Pilihan Raya
;