Pilihan Raya Sarawak: SPR jangka lebih 75 peratus keluar mengundi 7 Mei nanti

Harits Asyraf Hasnan
Mei 3, 2016 12:34 MYT
SPR menjangkakan lebih 75 peratus pengundi akan menunaikan tanggungjawab mereka pada hari pengundian 7 Mei. - Foto Astro AWANI / Harits Asyraf Hasnan
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjangkakan lebih 75 peratus pengundi akan menunaikan tanggungjawab mereka pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-11.
Bagaimanapun, Pengerusinya, Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah berkata faktor cuaca memainkan peranan yang amat penting pada PRN ini.
"Kita jangkakan keseluruhan, bukan sahaja pengundi awal, iaitu dalam 75 peratus ke atas. Ini jangkaan kita (SPR).
"Ia juga bergantung kepada keadaan cuaca dan sebagainya. Cuaca kalau sebegini, begitu baik, saya rasa ramai yang akan keluar mengundi pada 7 Mei nanti," katanya kepada media selepas meninjau proses pengundian awal di Kem Penrissen di sini hari ini.

#SarawakMemilih Pengerusi SPR, DS Hashim Abdullah memantau proses pengundian awal @501Awani pic.twitter.com/KizcbuzNPg

— Asyraf Hasnan (@HaritsKarev) May 3, 2016
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Mengulas berkenaan proses pengundian awal yang berlangsung hari ini, Mohd Hashim berkata sebanyak 33 pusat pengundian akan ditutup pada 2 petang dan selebihnya 46 pusat akan ditutup 5 petang, berdasarkan kepada bilangan pengundi di pusat-pusat berkenaan.
"Tempat-tempat yang tutup awal ini bergantung kepada kawasan kem yang berada di kawasan pedalaman atau yang jumlah pengundinya sedikit.
"Jadi kita tidak perlu tutup pada pukul 5 petang. Memadai tutup pada waktu yang kita jangkakan seperti pukul 2, dan lebih mudah untuk kita hantar ke tempat-tempat simpanan kerana petang saya rasa di Sarawak ini selalu hujan," katanya.
Sejumlah 24,604 pemilih terdiri daripada anggota keselamatan serta pasangan masing-masing akan mengundi awal di 79 pusat pengundian bagi PRN kali ini.
Menurut senarai SPR, kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Stakan mempunyai jumlah pengundi awal paling ramai iaitu 7,055 orang, diikuti Bukit Sentosa (3,163 pengundi), Nangka (3,043), Batu Kawah (1,241) dan Sri Aman (1,075).
Bagaimanapun, jumlah pemilih itu tidak melibatkan 418 pengundi awal di dua kawasan DUN - Bukit Kota dan Bukit Sari, berikutan kemenangan tanpa bertanding BN di kedua-dua kerusi itu pada hari penamaan calon, 25 April lepas.
#Adenan Satem #Barisan Nasional #BN #PBB #pilihan raya Sarawak #PRN-11 #sarawak2016 #SPR #Suruhanjaya Pilihan Raya
;