Pilihan Raya Sarawak: DAP lancar manifesto 10 perkara, mahu fokus menentang BN
Hafiz Marzukhi
April 27, 2016 12:48 MYT
April 27, 2016 12:48 MYT
Parti DAP tidak akan mengfokuskan kepada isu pertindihan kerusi dengan PKR, sebaliknya akan berusaha keras untuk memenangi kesemua kerusi yang ditandingi, termasuk di kerusi N13, Batu Kitang.
Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen berkata musuh politik parti itu ketika ini adalah Barisan Nasional (BN) dan ia enggan hilang tumpuan.
"Kami akan fokus sepenuhnya untuk menentang BN.
"Contohnya di Batu Kitang, DAP mempunyai 55 peratus peluang untuk memenangi kerusi itu sebelum ini. Namun, disebabkan penyertaan PKR, peratusan tersebut menurun kepada 45 peratus," kata Chong dalam satu sidang media di Ibu Pejabat DAP Sarawak di sini hari ini.
Walau bagaimanapun, beliau melahirkan keyakinan DAP mampu memenangi Batu Kitang dengan usaha mereka untuk giat berkempen pada hari yang akan datang.
"Untuk kerusi-kerusi bertindih yang lain pula, saya ulangi kenyataan saya, kami tidak akan mempedulikan PKR," kata Chong.
Wakil DAP berbangsa Melayu Abdul Aziz Isa yang sepatutnya bertanding di DUN Stakan sebelum ini dicalonkan pada saat akhir di Dun Batu Kitang .
Dikatakan ia sebagai tindak balas terhadap keputusan PKR Sarawak menurunkan calon parti berkenaan di kerusi-kerusi yang menjadi perbalahan dengan DAP.
Kawasan Dun Batu Kitang menyaksikan pertandingan lima penjuru antara calon BN, Lo Khere Chiang dari SUPP, Abdul Aziz, Shiak Ni (PKR) dan dua lagi calon Bebas, Sulaiman Kadir dan Datuk Seri Othman Bojeng.
Chong sebelum itu melancarkan manifesto parti DAP untuk Pilihanraya Negeri Sarawak (PRN) ke-11 yang sedang berlangsung.
10 perkara digariskan parti itu dalam manifesto yang bertemakan 'Perkongsian Kekayaan Buat Semua Rakyat Sarawak'.
Antaranya termasuklah khidmat bas percuma, autonomi dalam percukaian, pendidikan peningkatan khidmat jalur lebar dan keselamatan serta mewujudkan peluang pekerjaan baru.
Proses pengundian bagi 80 kerusi Dun Sarawak bakal berlangsung 7 Mei ini dengan dua lagi kerusi telah dimenangi calon Barisan Nasional tanpa bertanding pada hari penamaan calon pada Isnin.