Pilihan Raya Sarawak: BN lancar manifesto dengan tema 'Berikan Peluang Kepada Team Adenan'
Hafiz Marzukhi
April 26, 2016 11:17 MYT
April 26, 2016 11:17 MYT
Barisan Nasional Sarawak hari ini melancarkan manifesto bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-11 dengan tema 'Berikan Peluang Kepada Team Adenan'.
Pengumuman tersebut dibuat Pengerusinya Tan Sri Adenan Satem di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di sini.
"Manifesto ini memperincikan perancangan BN untuk lima tahun yang akan datang.
"Semua perkara ini dibuat dengan meletakkan rakyat sebagai yang utama," kata Adenan dalam sidang media itu.
Manifesto BN kali ini menggariskan 15 perkara.
Ia meliputi autonomi bagi Sarawak, hak tanah, perumahan mampu milik, kesihatan, pendidikan dan juga keusahawanan.
Adenan akan dicabar oleh calon PKR, Jazolkipli Numan dalam pertembungan satu lawan satu di kerusi Tanjung Datu.
Semalam, Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) telah menerima sejumlah 230 kertas pencalonan bagi proses penamaan calon untuk 82 kerusi Dewan Undangan Negeri, Dun Sarawak hari ini bagi pilihan raya negeri ke-11 (PRN11) dengan dua daripada ditolak.
Proses pengundian bakal berlangsung 7 Mei ini.
Terdapat 1.13 juta pengundi pada pilihan raya negeri kali ini.
Berikut adalah 15 teras utama Manifesto BN:
1. Menegakkan hak Sarawak dan rakyatnya
2. Mempertahankan keamanan dan keharmonian negeri kita
3. Memelihara budaya, warisan dan kepercayaan pelbagai kaum di Sarawak
4. Menjamin hak rakyat ke atas tanah mereka
5. Melindungi dan memulihara alam semulajadi
6. Mempertingkatkan kebajikan golongan yang kurang bernasib baik
7. Menyediakan lebih banyak rumah mampu milik untuk golongan berpendapatan rendah dan sederhana
8. Mempercepatkan pembangunan jaringan jalan, liputan bekalan air, elektrik dan telekomunikasi
9. Meningkatkan akses kepada perkhidmatan kesihatan
10. Meningkatkan penyertaan wanita dalam aktiviti sosio-ekonomi
11. Mengiktiraf dan membangunkan potensi belia demi masa depan kita
12. Memajukan pendidikan dan latihan teknikal
13. Mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan untuk rakyat Sarawak
14. Membangunkan persekitaran perniagaan yang kondusif untuk pelaburan dan keusahawanan
15. Industrialisasikan negeri melalui sektor pembuatan, pelancongan dan transformasi luar bandar.
#Adenan Satem
#Barisan Nasional
#BN
#manifesto BN
#PBB
#pilihan raya Sarawak
#PRN-11
#sarawak2016
#SPR
#Suruhanjaya Pilihan Raya