Pilihan raya ketika krisis COVID-19: PRK Batu Sapi perlu ditangguh

G Manimaran
Oktober 9, 2020 12:52 MYT
Pandemik COVID-19 telah menyediakan keperluan untuk kita melihat semula sistem, undang-undang dan prosedur berkaitan dengan pilihan raya. - Gambar hiasan
DALAM laporan dikemukakan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin Ogos lalu, Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan Raya (ERC), sebagai salah satu penambahbaikan elemen kesiapsiagaan dalam menghadapi situasi tidak dijangka, mencadangkan agar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membangunkan garis panduan khusus berkaitan pengurusan pilihan raya ketika kecemasan.
Ini meliputi situasi, contohnya semasa banjir, bekalan elektrik terputus, jalan perhubungan terhalang atau pun dalam keadaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan pandemik wabak dan sebagainya.
Baru-baru ini, Pengerusi ERC, Tan Sri Ab Rashid Ab Rahman juga dipetik berkata, pilihan raya tergempar atau mengejut, susulan PRU14 dua tahun lalu, tidak wajar diadakan di saat semua pihak termasuk Kementerian Kesihatan sedang berusaha untuk memerangi COVID-19 dan mengawal gelombang ketiga dan mengelakkan gelombang-gelombang seterusnya.
Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah bulan lalu telah membekalkan satu pengajaran tentang implikasi mengadakan pilihan raya dalam persekitaran pandemik dan dalam keadaan ketidakpatuhan peraturan dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh pihak berkuasa tidak dapat dikawal.
Kita bakal menyaksikan satu lagi pilihan raya kecil yang tidak diduga iaitu pilihan raya kecil kerusi Parlimen Batu Sapi.
Kerusi ini juga membabitkan kerusi negeri Sabah.
Seminggu selepas PRN yang telag dipanggil secara mengejut – 27 bulan selepas PRU14, Sabah dikejutkan dengan kekosongan luar jangka kerusi Batu Sapi ekoran kematian penyandangnya, Datuk Liew Vui Keong dari Parti Warisan Sabah (Warisan) pada 2 Oktober lalu.
Kerusi Parlimen Batu Sapi bukan sesuatu yang asing dalam sejarah dalam pilihan raya.
Kerusi yang diwujudkan pada tahun 2003 ekoran urusan persempadanan semula bahagian pilihan raya, merupakan antara bahagian yang pernah menyaksikan pilihan raya kecil lebih daripada sekali.
Dalam pilihan raya kecil yang berlangsung pada 4 November 2010, calon Barisan Nasional (BN), Datin Linda Tsen yang bertanding bagi menggantikan tempat suaminya, mempertahankan kerusi yang BN sandang sejak 2004.
Dalam pilihan raya kecil itu kerusi tersebut turut direbut oleh calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Maju Sabah (SAPP).
Apabila pilihan raya kecil itu dipanggil 10 tahun yang lalu, tiada sebarang isu apabila SPR menguruskan pilihan raya tersebut.
Hari ini situasi berbeza. Banyak pihak memberikan pandangan supaya pilihan raya kecil tidak dilangsungkan ketika negara masih bertarung untuk menangani krisis kesihatan ekoran wabak COVID-19 dan mengambil pengajaran senario buruk semasa PRN Sabah bulan lalu, apabila kes jangkitan naik mendadak awal bulan ini – seminggu selepas PRN Sabah.
Malah terdapat pandangan dan saranan agar apa juga pilihan raya yang hendak diadakan dalam waktu terdekat, kesemuanya harus ditunda sehingga negara benar-benar ‘sihat’ sepenuhnya.
Kuasa SPR terhad
Kerangka perundangan semasa hanya memberi SPR kuasa menguruskan pilihan raya. SPR wajib mengadakan pilihan raya.
Bagaimanapun, tiada peruntukan mutlak bagi menangguh atau menunda pilihan raya.
SPR diberikan tiga fungsi utama.
Salah satunya ialah menguruskan perjalanan pilihan raya peringkat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) sebagaimana dikehendaki oleh Perlembagaan Persekutuan dan Negeri.
Mengikut peruntukan Perlembagaan Persekutuan, SPR perlu mengadakan pilihan raya untuk mengisi kekosongan yang wujud dalam masa 60 hari.
Kekosongan di Batu Sapi wujud lapan bulan sebelum peruntukan tidak perlu ada pilihan raya kecil jika berlaku kekosongan dalam tempoh dua tahun sebelum pembubaran secara automatik Parlimen ke-14.
Fasal 1 Perkara 54 Perlembagaan Persekutuan berbunyi, "kecuali sebagai mana yang diperuntukkan di bawah Fasal (3) (keputusan mengenai kehilangan kelayakan), apabila terdapat sesuatu kekosongan di kalangan ahli Dewan Negara atau sesuatu kekosongan luar jangka di kalangan ahli Dewan Rakyat, maka kekosongan atau kekosongan luar jangka itu hendaklah diisi dalam tempoh 60 hari dari tarikh dipastikan oleh Yang di-Pertua Dewan Negara bahawa ada kekosongan atau oleh SPR bahawa ada kekosongan luar jangka, mengikut mana-mana yang berkenaan, dan suatu pilihan raya hendaklah diadakan atau suatu pelantikan hendaklah dibuat dengan sewajarnya".
Fasal yang sama juga berbunyi bahawa "jika kekosongan luar jangka di Dewan Rakyat dipastikan pada suatu tarikh dalam masa dua tahun dari tarikh Parlimen akan terbubar mengikut Fasal (3) Perkara 55, maka kekosongan luar jangka itu tidak boleh diisi melainkan jika Yang di-Pertua Dewan Rakyat memberitahu SPR secara bertulis bahawa kekuatan dari segi bilangan parti yang membentuk majoriti semua ahli Dewan Rakyat terjejas oleh kekosongan itu, dan dalam keadaan sedemikian kekosongan itu hendaklah diisi dalam masa 60 hari dari tarikh pemberitahuan itu diterima."
SPR juga diberikan peruntukan di bawah Peraturan 24A, Peraturan-peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Pilihan Raya) 1981 untuk mengisytiharkan pengundian di tempat mengundi sebagai tidak sah, menetapkan hari dan menentukan waktu untuk mengadakan pengundian semula.
Bagaimanapun, tiada peruntukan untuk bertindak menangguh atau menunda pengurusan pilihan raya sebelum hari penamaan calon.
Sebenarnya kita berada dalam dua senario yang memerlukan keputusan penting dibuat mengenai keperluan mengadakan pilihan raya kecil. Pertimbangan antara krisis wabak COVID-19 dan memastikan kestabilan keanggotaan di Parlimen pada masa sekarang, sekali gus mengelakkan sebarang kemungkinan krisis politik.
SPR yang akan mengadakan mesyuarat khas pada 13 Oktober ini bagi membincangkan tarikh pilihan raya kecil terikat kepada tiga akta (Akta Suruhanjaya Pilihan Raya 1957, Akta Pilihan Raya 1958 dan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954), tiga peraturan (Peraturan-peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Pilihan Raya), Peraturan-peraturan Pilihan Raya (Pengundian Pos) dan Peraturan-peratuan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) serta Perlembagaan Persekutuan dan Negeri dalam menguruskan pilihan raya, sama ada pilihan raya umum atau kecil.
Kecuali dalam keadaan tertentu, SPR boleh menangguhkan proses pengundian sedang dan hendak diadakan.
SPR telah menagguhkan proses pengundian di beberapa kawasan di Sabah dan Sarawak ekoran deklarasi kecemasan dan pengisytiharan Ordinan Darurat (Kuasa Perlu) No. 1 tahun 1969 pada 15 Mei 1969 dan ia diadakan semula pertengahan tahun berikutnya.
Ketika Pilihan Raya Umum 1969, yang merupakan pilihan raya peringkat nasional pertama bagi Sabah dan Sarawak sejak menyertai Malaysia, proses pengundian di kedua-dua negeri dijadual berlangsung selama empat minggu dan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat disebabkan kekurangan sistem pengangkutan dan ancaman komunis.
Malah, SPR pernah menangguhkan proses pengundian bagi kerusi DUN Gemencheh, Negeri Sembilan apabila calon BN dari Umno, Datuk Mohammad Taha Taib ditembak mati lapan hari sebelum PRU 1982.
Pilihan raya bagi kawasan itu diadakan semula. SPR juga pernah menangguhkan proses pengundian kerusi DUN di Sungai Lembing, Pahang pada 2004 ekoran masalah teknikal percetakan pada kertas undi.
Maklumat laman International Institute for Democracy and Electoral Assistance (Idea), hampir 80 negara telah menangguhkan pelbagai jenis pilihan raya – umum, pilihan raya kecil, pilihan raya kerajaan tempatan dan referendum ekoran Covid-19 sejak awal tahun ini.
Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern memutuskan untuk menangguhkan pilihan raya selama sebulan bagi mengelakkan sebarang kemungkinan tidak diduga di sebalik jangkitan pandemik.
PRU negara itu yang sepatutnya berlangsung pada 19 September lalu ditunda sehingga 17 Oktober ini.
Punca kuasa khas
Undang-undang semasa tidak menyediakan peruntukan khusus kepada SPR untuk menangguh atau membatalkan keperluan mengadakan pilihan raya dalam keadaan negara berhadapan dengan wabak, pandemik dan bencana.
Hanya pengisytiharan darurat atau larangan khusus diumumkan oleh pihak berkuasa boleh dan pernah disandarkan oleh SPR apabila memutuskan untuk menunda proses pengundian semasa termasuk ketika PRU 1969 di Sabah dan Sarawak.
Dalam keadaan terikat dari segi kerangka perundangan, SPR memerlukan peruntukan khas atau punca kuasa untuk membolehkan pengurusan pilihan raya ditangguh atau ditunda atau membatalkannya sama sekali.
Dalam situasi terkini yang membabitkan kerusi Parlimen Batu Sapi, pilihan raya kecil yang perlu diadakan kerana jika dibatalkan ia bertentangan dengan semangat demokrasi dan kerangka perundangan.
Sebaliknya, SPR perlu diberikan kuasa supaya pilihan raya boleh ditangguh sementara impak Covid-19 kembali terkawal. PRN Sabah telah memberi pengajaran bernilai kepada semua dalam pengurusan pilihan raya dan amalan demokrasi.
Sementara satu peruntukan khusus digubal dan dikuatkuasakan, punca kuasa khas boleh difikir dan dipertimbangkan untuk diberikan kepada SPR menerusi undang-undang lain, terutama dari sudut kesihatan dan keselamatan.
Ini termasuklah menerusi Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 yang digunakan sekarang bagi membendung jangkitan Covid-19.
Baru-baru ini, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan bahawa Mesyuarat Khas Menteri-Menteri telah memutuskan untuk menguatkuasakan kawalan rentas daerah di seluruh Sabah mulai 3 sehingga 16 Oktober.
Langkah ini bertujuan untuk mengehadkan pergerakan dan mengawal jangkitan. Sama ada larangan itu akan dilanjutkan ataupun sebaliknya masih terlalu awal untuk diramalkan.
Sekurang-kurangnya ada ruang bagi SPR untuk menggunakan keadaan semasa itu memutuskan nasib pilihan PRK Batu Sapi.
Pihak berkuasa masih ada autoriti atau ruang lingkup untuk menentukan parameter kerangka perundangan yang boleh menyediakan kuasa bagi tindakan susulan SPR iaitu menangguhkan pilihan raya supaya ia tidak dicabar oleh mana-mana pihak di mahkamah terbuka.
Pastinya semua pihak akan menerima keputusan demi kebaikan bersama. Sediakan SPR punca kuasa untuk menangguhkan pilihan raya buat sementara waktu.
Dari segi politik, di sebalik saranan dan seruan banyak pihak, BN telah mengambil keputusan untuk tidak menyertai pilihan raya kecil Batu Sapi jika diadakan atas alasan mahu mengelakkan penularan COVID-19.
BN merupakan sebahagian daripada Gabungan Rakyat Sabah (GBS) yang pembentukannya diumumkan sehari sebelum hari penamaan PRN Sabah bulan lalu.
Dua lagi anggota ialah Perikatan Nasional (PN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS). Beberapa pemimpin BN turut berhadapan dengan jangkitan COVID-19.
Keputusan parti-parti utama tidak bertanding dalam pilihan raya kecil sebagaimana diumumkan oleh BN semalam bukan kali pertama berlaku.
PKR telah memutuskan untuk tidak bertanding dalam pilihan raya kecil DUN Chini, Pahang juga atas alasan kerisauan terhadap aspek keselamatan pengundi berikutan penularan wabak COVID-19.
BN tidak bertanding dalam Pilihan Raya Kecil Parlimen Port Dickson pada 13 Oktober 2018, yang diadakan lima bulan selepas pilihan raya umum.
BN juga tidak tanding kerusi DUN Seri Setia dan Balakong, Selangor dua tahun lalu.
COVID-19 telah menyediakan keperluan untuk kita melihat semula sistem, undang-undang dan prosedur berkaitan dengan pilihan raya.
#Pilihan Raya Kecil Batu Sapi #Liew Vui Keong #Parlimen Batu Sapi #Muhyiddin Yassin #ERC #Suruhanjaya Pilihan Raya #SPR #perintah kawalan pergerakan #PKP #COVID-19 #Shafie Apdal #Hajiji Mohd Noor #PRN Sabah 2020 #Sabah Memilih #Parti Warisan Sabah
;