Pilihan raya kecil: Pengaruh PH sukar digugat

Sinar Harian
Ogos 8, 2018 08:34 MYT
Penganalisis politik berpendapat, berdasarkan PRU14 lalu, amat sukar untuk pembangkang menewaskan DAP-PH pada PRK DUN Balakong akan datang, namun mereka perlu melihat bahawa ia bukan soal menang atau kalah semata-mata. - Gambar hiasan
Selesai pilihan raya kecil (PRK) pertama di Selangor selepas pilihan raya umum ke-14 (PRU14), iaitu N49 Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, Sabtu lalu, kini tumpuan akan beralih ke PRK seterusnya, N27 DUN Balakong.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah pun menetapkan tarikh 8 September sebagai hari pengundian bagi PRK Dun Balakong sementara tarikh penamaan calon pula ditetapkan pada 18 Ogos dan tempoh berkempen bagi PRK Dun Balakong adalah selama 21 hari.
Bagi kerusi N27 Balakong, kesimpulan awal yang boleh dibuat berdasarkan keputusan pada PRU14 lalu adalah ia antara kubu kuat bagi PH, setelah menang dengan majoriti undi besar iaitu 35,538.
Jika bercakap soal menang atau kalah, telahan atau jangkaan awal pastinya Pakatan Harapan (PH) bakal mengekalkan kerusi DUN Balakong dengan mudah dan tidak banyak yang boleh dilakukan oleh pembangkang untuk merampas kerusi berkenaan.
Namun, dalam politik ia bukan soal menang atau kalah semata-mata. Apa sahaja boleh berlaku, malah naik turun jumlah undi juga penting sebagai indikator untuk menilai di mana penerimaan rakyat terhadap sesebuah parti politik.
Parti mana bertanding?
Presiden PH Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebelum ini juga telah mengesahkan kerusi berkenaan akan ditandingi oleh DAP sewaktu disoal oleh pemberita.
Selain itu, di pihak pembangkang, baik kem Barisan Nasional (BN) atau Pas, masing-masing masih belum memutuskan untuk meletakkan calon sebagai pencabar di PRK DUN Balakong.
Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, calon bagi kerusi itu masih belum diputuskan dan jika bertanding, besar kemungkinan BN akan diwakili oleh calon daripada parti MCA.
“DUN Balakong kita belum bincang sebab kerusi itu sepatutnya milik MCA. Tapi, BN belum buat keputusan. Dalam seminggu lagi kita akan putuskan,” katanya kepada Sinar Harian.
Sementara itu, Pas pula memberikan bayangan awal parti itu berkemungkinan besar tidak akan bertanding pada PRK DUN Balakong.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, faktor situasi semasa dan majoriti undi yang terlalu besar antara sebab utama Pas tidak akan meletakkan calon di Balakong.
“Majoriti diperoleh terlalu besar. Kita tak nak habiskan masa rakyat untuk berkempen. Pas bukan turun bertanding semberono saja. Tempat-tempat kita rasa boleh turun, kita turun. Yang kita rasa tak boleh, kita tak turun,” katanya.
Selain BN dan Pas, Parti Rakyat Malaysia (PRM) dikatakan berhasrat meletakkan calon di PRK DUN Balakong setelah seorang ahlinya, Norizwan Mohamed, mengatakan kesediaan untuk menjadi calon.
Dua atau tiga penjuru?
Setakat ini, ada kemungkinan pertandingan tiga penjuru pada PRK DUN Balakong jika BN dan PRM putuskan bertanding untuk mencabar DAP, dalam masa sama mengandaikan Pas menarik diri.
Namun, tiga penjuru adalah situasi yang tidak realistik kepada pembangkang untuk memberi cabaran kepada DAP, apatah lagi jika mahu berkira-kira untuk merampas kerusi DUN Balakong.
Justeru, pilihan lain yang boleh diambil oleh pembangkang ialah dengan menjalinkan kerjasama, bersatu sebagai satu blok pembangkang dan meletakkan seorang calon mereka seterusnya mewujudkan situasi dua penjuru.
Penganalisis politik, Md Shukri Shuib berpendapat, berdasarkan PRU14 lalu, jelas amat sukar untuk pembangkang menewaskan DAP-PH pada PRK DUN Balakong nanti, namun pembangkang perlu melihat bahawa ia bukan soal menang atau kalah semata-mata.
Katanya, dalam konteks demokrasi adalah tidak wajar untuk menolak pertandingan dan pembangkang perlu bertanding untuk setidak-tidaknya dapat menilai sejauh masa gerak kerja parti dan penerimaan rakyat terhadap corak politik semasa.
“Ia bukan soal menang atau kalah sangat. Kita tahu, dalam situasi ini DAP sangat kuat. Malah, pada PRU14 lalu, jika undi pembangkang disatukan, masih tidak menggugat majoriti dimenangi PH.
“Pembangkang perlu letakkan satu calon sahaja, jika berlaku tiga penjuru ia hanya membuang masa. Parti-parti kecil tidak perlu bertanding, kesannya tidak signifikan dan lebih baik mereka bekerjasama wujudkan satu pembangkang yang lebih kuat.
“Walaupun dua penjuru, ia masih sukar untuk menewaskan DAP, tetapi pembangkang perlu melihat PRK DUN Balakong ini sebagai satu platform untuk menilai sejauh mana kecekapan jentera dan impak politik kepada rakyat,” katanya.
#Annuar Musa #BALAKONG #BN #calon #DAP #dua penjuru #DUN #MCA #Md Shukri Shuib #PAS #pembangkang #penganalisis #pilihan raya kecil #PRK #tiga penjuru
;