Pilihan Raya Kecil DUN Chempaka ditetapkan 22 Mac - Pengerusi SPR
Bernama
Februari 18, 2015 13:56 MYT
Februari 18, 2015 13:56 MYT
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka di Kelantan pada 22 Mac depan.
Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata hari penamaan calon pula ditetapkan pada 10 Mac, manakala pengundian awal pada 18 Mac.
"Tarikh tutup untuk permohonan bagi undi pos untuk dalam negara adalah pada 12 Mac, manakala untuk permohonan undi pos bagi pengundi luar negara pada 10 Mac," katanya dalam sidang media sempena Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) N.06 Chempaka di sini hari ini.
Pilihan raya kecil itu akan diadakan ekoran kematian penyandangnya yang juga bekas Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pada 5 Feb lalu akibat kanser prostat.
Pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lepas, Nik Abdul Aziz (PAS) menewaskan calon Barisan Nasional (BN) Wan Razman Wan Abd Razak dengan majoriti 6,500 undi.
Nik Abdul Aziz mendapat 12,310 undi manakala Wan Razman memperoleh 5,810 undi. PRK DUN Chempaka adalah pilihan raya kecil kelapan diadakan selepas PRU13 pada 5 Mei 2013.
Tujuh PRK sebelum ini adalah PRK DUN Kuala Besut, Terengganu (24 Julai 2013); PRK DUN Sungai Limau, Kedah (4 Nov 2013); PRK DUN Kajang, Selangor (23 Mac 2014); PRK DUN Balingian, Sarawak (29 Mac 2014); PRK Parlimen Bukit Gelugor, Pulau Pinang (25 Mei 2014); PRK Parlimen Teluk Intan, Perak (31 Mei 2104) dan PRK DUN Pengkalan Kubor, Kelantan (25 Sept 2014).
LAPORAN LANJUT MENYUSUL