Pilih pemimpin yang hormati mandat rakyat - Sarifuddin

Petrus Bernard
Ogos 3, 2020 09:26 MYT
SARIFUDDIN: Kita perlukan wakil rakyat yang betul-betul setia dan tidak boleh dibeli dengan wang ringgit ataupun pangkat. -Gambar fail
Penduduk di negeri ini dinasihati untuk memilih pemimpin yang benar-benar bekerja dan boleh membantu rakyat.
Ketua Warisan bahagian Kalabakan Tawau, Sarifuddin Hata berkata apa yang berlaku kini menjadi satu pengalaman dan pengajaran untuk memilih wakil rakyat yang setia dan menghormati mandat yang diberikan kepada mereka.
Katanya, apabila rakyat memilih wakil rakyat yang salah, ia akan turut mengakibatkan ketidakstabilan politik di negeri ini yang turut memberi kesan kepada ekonomi negeri.
"Nasihat saya kepada pengundi-pengundi di seluruh Sabah, kita sudah melihat senario politik apa yang berlaku di sini.
"Apa yang paling penting sekarang ialah kita memilih wakil rakyat, bukan sahaja yang boleh bekerja, bukan sahaja yang boleh membantu kita, tetapi kita perlukan wakil rakyat yang betul-betul setia dan tidak boleh dibeli dengan wang ringgit ataupun pangkat.
"Itu yang paling penting, menghormati mandat rakyat," kata Sarifuddin.
Katanya lagi, tindakan beberapa wakil rakyat yang melompat parti kononnya untuk membela nasib rakyat adalah alasan semata-mata dan sebaliknya demi kepentingan peribadi.
"Tidak semestinya kalau kita ditakdirkan sebagai pembangkang tidak boleh bekerja membantu rakyat. Kita boleh juga membantu rakyat walaupun kita pembangkang.
"Sama ada kita sebagai wakil rakyat kerajaan ataupun wakil rakyat pembangkang, kita boleh suarakan.
"Kita ada Dewan Undangan Negeri untuk kita suarakan apa masalah rakyat di kawasan kita, apa kemahuan rakyat di kawasan kita.
"Itu yang paling penting, bukan dengan duit wang ringgit demi kepentingan peribadi kita," katanya lagi.
Sharifudin berharap pengundi di Sabah akan dapat menilai setiap calon di kawasan mereka agar dapat memilih wakil rakyat yang berpegang dan menghormati setiap undi yang diberikan rakyat kepada mereka.
Sharifudin berkata demikian ketika ditemui Astro AWANI semasa menghadiri mesyuarat Warisan masyarakat Cina di kawasan Muhibbah, Sin On, Gudang Empat dan Ulu Gudang Empat yang terletak dalam kawasan Parlimen Kalabakan Tawau.
#Gudang Empat #hormati mandat rakyat #Ketua Warisan #Muhibbah #Sarifuddin Hata #Ulu Gudang Empat #wakil rakyat
;