Pilih integriti: CMCF seru kempen pilihan raya yang bermaklumat, beretika
Kenyataan Media
Julai 28, 2023 15:00 MYT
Julai 28, 2023 15:00 MYT
MEMANDANGKAN Pilihan Raya Negeri (PRN) semakin hampir untuk enam buah negeri di Malaysia, Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF) ingin menegaskan tentang kepentingan menghindari kegiatan penyebaran maklumat yang mengelirukan dan ucapan bernada kebencian menjelang tempoh PRN.
Mediha Mahmood, Pengarah Eksekutif CMCF juga mengingatkan semua pihak untuk mengelak daripada menyebarkan maklumat palsu, berita palsu dan propaganda yang menggesa kebencian. Melibatkan diri dalam aktiviti seperti membuat kenyataan palsu, gangguan, fitnah atau menghasut kebencian dalam bahan kempen adalah salah di sisi undang-undang negara.
Tindakan sedemikian adalah bertentangan dengan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Akta) serta Kod Kandungan Komunikasi dan Multimedia (Kod Kandungan). Menurut Seksyen 4A Akta tersebut, adalah menjadi satu kesalahan untuk melakukan apa-apa perbuatan atau membuat apa-apa pernyataan dengan tujuan atau dengan kecenderungan untuk mengembangkan perasaan jahat, tidak puas hati atau permusuhan antara kaum.
Peruntukan yang sama juga disertakan dalam Kod Kandungan. Bahagian 2, Seksyen 5.1 melarang kandungan mengancam yang menyebabkan gangguan, ancaman kecederaan, mendorong kepada perbuatan jenayah atau menjurus kepada ketidaktenteraman awam, manakala Seksyen 5.2, melarang propaganda yang menggesa kebencian. Mengenai maklumat palsu, Bahagian 2, Bahagian 7.1 Kod Kandungan menekankan keperluan untuk mengelakkan kandungan yang mengandungi bahan palsu atau maklumat tidak lengkap yang mungkin mengelirukan.
Mediha turut menggesa kawalan kendiri kandungan dipraktikkan apabila menyentuh topik sensitif yang antara lain melibatkan kaum, agama, wanita, kanak-kanak dan orang kurang upaya. Beliau juga mengingatkan ahli politik dan penyokong mereka bahawa golongan masyarakat minoriti dan terpinggir tidak seharusnya dijadikan bidak politik. Isu-isu sensitif dan kontroversi juga tidak seharusnya dieksploitasikan kerana berupaya memberi implikasi yang memudaratkan kepada masyarakat dalam jangka masa yang panjang, melangkaui tempoh pilihan raya. Dalam dunia digital yang serba pantas, adalah penting untuk semua pihak bertanggungjawab terhadap apa yang dikatakan atau ditulis kerana apabila telah tular, akan menjadi sukar untuk ditarik balik atau dipadamkan.
Oleh demikian, ahli politik dan calon PRN digesa untuk mempertahankan integriti mereka dengan bercakap jujur dan tidak terlibat dalam taktik yang tidak bermanfaat seperti kempen fitnah, mengumpat atau melakukan serangan peribadi pihak tertentu. Melibatkan diri dalam perbuatan sedemikian bukan sahaja mengelirukan orang ramai tetapi juga menimbulkan risiko terdedah kepada tindakan undang-undang.
Mengambil kira ketegangan intensiti tempoh berkempen, kecuaian seperti menyampaikan kenyataan yang menyakitkan hati atau palsu mungkin berlaku. Oleh itu, adalah penting untuk mempraktikkan kawalan kendiri kandungan, terutamanya dalam wacana politik. Ianya juga penting untuk segera memperakui dan memperbetulkan kesilapan sendiri, sekiranya ada. Penyebaran maklumat yang salah perlulah dibendung secepat mungkin dengan melakukan pembetulan segera dan menyebarkan maklumat yang sebetulnya.
Memandangkan kepenggunaan media sosial semakin meluas, ia dianggap sebagai kuasa penting dalam kempen politik kerana jangkauan dan keberkesanannya yang meluas. Oleh itu, pengguna digalakkan untuk melaksanakan kawalan kendiri dengan meneliti kandungan yang diterima dan melaporkan sebarang kandungan yang menggalakkan kebencian, maklumat palsu atau gangguan di pelantar media sosial untuk menyekat penyebaran dilakukan.
Sepanjang tempoh PRN, orang ramai perlu berhati-hati dalam menerima kandungan dan berita mengenai calon yang bertanding bagi membolehkan mereka membuat keputusan yang tepat. Orang ramai juga digesa untuk mengesahkan sumber dan maklumat rujukan silang, mencari konteks, menyemak bias dan membuat semakan fakta di https://sebenarnya.my atau dengan merujuk kepada JomCheck Malaysia melalui WhatsApp di 017-477 6659.
Mediha percaya bahawa rakyat Malaysia harus dilengkapi dengan alat dan agensi berkepentingan untuk menangani dan membanteras kandungan berbahaya. Dengan mendidik diri mereka secara proaktif dan berhemat dalam penggunaan dan perkongsian kandungan, ahli politik dan orang ramai juga boleh melindungi diri daripada risiko yang ditimbulkan oleh maklumat salah dan ucapan bernada kebencian, dan mewujudkan ruang kandungan yang lebih sihat dan selamat sepanjang musim PRN akan datang.
* Kenyataan media ini dikeluarkan oleh Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF)