Piagam Muafakat Nasional: Kalau retorik, kenapa pemimpin PH perlu takut?

Sinar Harian
September 16, 2019 09:45 MYT
Najmil berkata, walau apa jua terjadi, penyatuan ummah harus direalisasikan pada pilihan raya umum akan datang. - Foto Sinar Harian
Kenyataan provokasi yang dikeluarkan sesetengah pemimpin Pakatan Harapan (PH) terhadap pemeteraian Piagam Muafakat Nasional menunjukkan mereka resah dengan penyatuan ummah antara UMNO dan Pas.
Exco Pemuda UMNO, Datuk Dr Najmil Faiz Mohamed Aris berkata, walaupun ada antara mereka yang menyifatkan piagam itu sebagai retorik, penyatuan ummah antara kedua-dua parti itu sebenarnya mimpi ngeri kepada kerajaan PH.
Menurutnya, penyatuan ummah itu sendiri adalah reaksi masyarakat untuk menolak kerajaan PH kerana terlalu banyak kerosakan yang dilakukan sejak memerintah.
"Apa yang perlu mereka ingat ialah penyatuan ummah bukanlah untuk UMNO-Pas semata-mata, tetapi untuk kelangsungan generasi akan datang yang akan menjadi pewaris kepada negara ini.
"Penyatuan ummah juga dituduh meminggirkan kaum lain. Namun, apa yang berlaku semalam (14 Sept), ramai daripada rakan-rakan komponen Barisan Nasional (BN) seperti MIC dan MCA menghadiri himpunan ini sebagai simbol sokongan dan percaya bahawa penyatuan ini tidak akan meminggirkan kaum lain.
"Persoalan saya kepada pemimpin PH, jika Piagam Muafakat Nasional ini hanyalah retorik politik, mengapa kerajaan begitu resah dan gelisah dengan penyatuan ummah ini dengan mengeluarkan kenyataan-kenyataan provokasi?" soalnya.
Jelas Najmil, Piagam Muafakat Nasional adalah panduan, teras dan hala tuju kerjasama dua parti terbesar orang Melayu Islam di Malaysia, dalam mengembalikan negara ini seperti asal selepas 'dihancurkan' oleh kerajaan PH.
Katanya, walau apa jua terjadi, penyatuan ummah harus direalisasikan pada pilihan raya umum akan datang, sebagai lambang kebangkitan orang Melayu Islam mempertahankan agama, bangsa dan tanah air.
"Pelbagai lagi kerjasama strategik akan dijalankan kedua-dua parti ini pada masa akan datang sebagai persediaan menghadapi pilihan raya umum.
"Ia menjadi agenda terbesar orang Melayu di negara ini apabila melihat kerajaan PH yang dipilih pada pilihan raya lepas gagal menjalankan tugas sebagai institusi pemerintah," katanya.
#Himpunan Penyatuan Ummah #Islam #kerajaan #Melayu #Najmil Faiz Mohamed Aris #Pakatan Harapan #PAS #pemimpin #Penyatuan Ummah #Piagam Muafakat Nasional #pilihan raya umum #politik #retorik #UMNO
;