PH tidak sempurna, namun tiada salah guna kuasa - Anwar
Fauzi Suhaimi
Mei 9, 2020 13:02 MYT
Mei 9, 2020 13:02 MYT
Pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan (PH) selama 22 bulan selepas berjaya memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu diakui tidak sempurna.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bagaimanapun kerajaan PH yang dibentuk menerusi komposisi empat parti komponen dengan sokongan Parti Warisan Sabah (Warisan) serta Parti Pasok Momogun Kadazan Dusun Murut Bersatu (UPKO) jelas tidak menyalahgunakan kuasa.
"Saya tidak nafikan ada beberapa kekurangan di pihak kita terutamanya kurang sensitif dalam beberapa kenyataan.
"Kedua, beberapa program kepedulian rakyat tidak dilakukan secara agresif sehingga terlalu banyak pertimbangan dan ini dijadikan kempen keras untuk menyergah PH.
"Untuk menyatakan ada kecuaian ataupun salah guna kuasa tidak dapat kita terima dan ianya berbeza dengan sebelumnya," katanya menerusi sesi Facebook Live bersamanya pada Sabtu.
Sesi itu turut menampilkan Presiden PH, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang mengulas sempena hari kemenangan rakyat dalam PRU-14 pada 9 Mei 2018.
Dalam pada itu, Anwar yang juga Presiden PKR berkata, pemerintahan PH ketika itu lebih terarah kepada cara memperbaiki serta menguruskan pentadbiran negara yang lebih bertanggungjawab.
"Saya lihat dari segi rekod banyak perubahan telah dibawakan tetapi tentunya ada kebimbangan dan keresahan kerana kali pertama rakan bukan Melayu menyertai Kabinet.
"Secara objektifnya kita harus pertahankan apa yang benar dan untuk menyatakan bahawa PH itu mengetepikan Melayu, bahasa, budaya dan hak keistimewaan atau kedudukan agama itu diteruskan," jelas beliau lagi.
#Anwar Ibrahim
#Azizah
#Dr Wan Azizah Wan Ismail
#Facebook
#kabinet
#kerajaan
#Melayu
#Pakatan Harapan
#pembangkang
#pilihan raya
#pilihan raya umum
#PKR
#presiden
#rakyat
#Wan Azizah
#Wan Azizah Wan Ismail