PH tidak rugi bila Zaid umum berhenti menulis - Khairuddin
Astro Awani
November 10, 2018 07:24 MYT
November 10, 2018 07:24 MYT
Keputusan bekas menteri Datuk Zaid Ibrahim untuk berhenti menulis sepenuhnya dan tidak terlibat dengan mana-mana parti politik tidak merugikan apa-apa di dalam Pakatan Harapan (PH), kata Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan.
Ahli Jawatankuasa Komunikasi dan Mobiliti PH itu berkata, tokoh pemimpin yang tidak mempunyai semangat kesetiakawanan seperti Zaid juga tidak harus diterima oleh mana-mana parti di bawah PH.
"Syabas dan terima kasih banyak-banyak kepada Zaid yang telah sedar serta membuat keputusan untuk berhenti menulis. Dia amat terkenal dengan kenyataan yang tidak berasas.
"Zaid juga suka bercakap berteraskan persepsi semata-mata. Kenyataan dan tuduhan baru-baru ini ke atas Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Daim Zainuddin amat tidak ilmiah dan tidak betul.
"Adakah dia kecewa kerana tidak diberi jawatan atau pangkat selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14)? Kenyataannya seolah-olah menagih perhatian semata-mata," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Sabtu.
Khairuddin mengulas catatan blog Zaid yang dilihat kritikal terhadap Dr Mahathir.
Zaid menyifatkan perdana menteri dikelilingi taikun jutawan yang tidak mempunyai penyelesaian bagi mengatasi masalah ekonomi, termasuk masalah dihadapi orang Melayu, selain mengisyaratkan bahawa Daim menguasai perjalanan kerajaan
Dalam pada itu tegas Khairuddin yang juga penyelaras Parlimen Jasin, Dr Mahathir mempunyai prinsip yang kental dan sukar untuk mana-mana pihak untuk mempengaruhinya.
"Asas pertimbangan Dr Mahathir hanyalah berteraskan kepada kebenaran serta untuk kepentingan bangsa, agama dan tanah air.
"Apabila Zaid menyatakan kononnya pentadbiran negara ditentukan atau dipengaruhi oleh Daim bersama rakan-rakan billionaire, ini membawa erti Zaid tidak mengenali sifat Dr Mahathir secara mendalam.
"Malah, bagi saya, Zaid tidak mengenali Dr Mahathir secara hakikat dan hakiki. Syukur, keputusan Zaid ini amat baik untuk kerajaan PH," jelasnya.
Katanya, lebih baik Zaid berundur secara terhormat sebelum menjadi individu yang menjatuhkan kredibiliti serta imej baik PH.
Terbaharu, Zaid dilaporkan menyesali kenyataannya dan beranggapan dirinya hanya 'memainkan peranan sebagai rakyat yang bertanggungjawab' di bawah 'Malaysia Baru'.
#blog
#kesetiakawanan
#Khairuddin
#Mahathir Mohamad
#Pakatan Harapan
#parti politik
#pemimpin
#PRU14
#Tidak Berasas
#Zaid Ibrahim