PH tetap akan tawan semula DUN Semenyih - Penganalisis

Adie Sufian Zulkefli
Februari 4, 2019 20:41 MYT
Penganalisis politik berpandangan, PH tetap akan menawan semula DUN Semenyih pada PRK kawasan itu 2 Mac nanti. - Gambar fail/BERNAMA
Pakatan Harapan (PH) tetap akan menawan semula Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan itu 2 Mac nanti.
Menurut penganalisis politik Prof Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani, jalinan antara Barisan Nasional (BN) dan Pas pada PRK walaupun dilihat akan mengukuhkan lagi kekuatan pembangkang, namun situasi itu tidak memberi ancaman kepada PH untuk menang di kerusi DUN Semenyih.
Bagaimanapun, katanya majoriti yang bakal diperoleh PH nanti dijangka lebih rendah berbanding yang diperolehi pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU-14) lalu.
Dr Mohd Azizuddin yang merupakan Bekas Profesor Politik dan Hubungan Antarabangsa di Pusat Pengajian Antarabangsa (SOIS), Universiti Utara Malaysia (UUM) menjelaskan, faktor utama PH akan berjaya mengekalkan kerusi yang dimenangi pada PRU14 itu ialah mereka menguasai Kerajaan Negeri Selangor dan Pusat.
Katanya, ini jelas berbeza dengan PRK Cameron Highlands, di mana, geografi Semenyih yang terletak di kawasan bandar akan memudahkan pergerakan pengundi-pengundi menunaikan tanggungjawab mereka pada 2 Mac nanti.
"Pakatan (Harapan) mungkin akan kekal lagi di kerusi itu sebab faktor undi simpati pada (Allahyaham) YB Bahtiar. Sebelum ini kita melihat ia melibatkan kematian pemimpin PKR, jadi undi simpati tu memainkan peranan penting dalam PRK ini.
"Yang keduanya faktor demografi bandar itu, memang kita tahu pengundi bandar memang mempunyai kecenderungan mengundi PH dan faktor lain adalah faktor undi bukan Melayu, peratusan akan tinggi. Jadi biasanya mereka ini kuat kepada penyokong PH,
Sungguh pun begitu, beliau tidak menolak kemungkinan gabungan BN dan Pas mampu menewaskan PH sekiranya peratusan keluar mengundi terlalu rendah, kerana pengundi luar kebanyakanya menyokong PH.
PRK DUN Semenyih diadakan susulan penyandangnya, Bakhtiar Mohd Nor, 57, dari PH meninggal dunia di Hospital Kajang pada 11 Januari lalu akibat serangan jantung.
Pada PRU14, Bakhtiar menewaskan penyandang Datuk Johan Abdul Aziz (BN) serta dua lagi calon iaitu Mad Shahmiour Mad Kosim (Pas) dan S Arutchelvan dari Parti Sosialis Malaysia (PSM).
Bakhtiar mengalahkan Johan yang menjadi wakil rakyat di kawasan itu selama dua penggal dengan majoriti 8,964 undi selepas memperoleh 23,428 undi.
PSM juga dijangka masih berminat untuk bertanding pada PRK kali ini.
#Bakhtiar Mohd Nor #Barisan Nasional #Dewan Undangan Negeri #DUN Semenyih #Pakatan Harapan #PAS #PH #pilihan raya kecil #PRK Semenyih #Prof Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani #tawan semula
;