PH terbuka terima semula individu yang 'terlanjur' khianati gabungan - Mahfuz

Abd Hadi Che Awang
Ogos 18, 2021 14:19 MYT
Mahfuz ditemui media selepas menandatangani akuan bersumpah (SD) dalam mencalonkan nama Perdana Menteri di Pejabat Pesuruhjaya Sumpah Rashid, Alor Setar pada Rabu. - Foto Astro AWANI
ALOR SETAR: Pakatan Harapan (PH) sentiasa terbuka untuk menerima semula mana-mana ahli Parlimen yang menang di dalam Piliharan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu dengan menggunakan tiket parti itu untuk kembali bersama terutama dalam menyokong calon Perdana Menteri ke-9 dari gabungan berkenaan.
Naib Presiden Amanah, Datuk Mahfuz Omar menyatakan bahawa peluang keinsafan sentiasa diberikan kepada pihak yang disifatkannya sebagai terlanjur sehingga mengabaikan mandat rakyat yang diberikan kepada PH sebelum ini.
Tambahnya, keputusan PH untuk mencalon Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-9 juga disifatkan beliau sebagai langkah yang paling tepat dalam mengembalikan keyakinan rakyat Malaysia terhadap kerajaan selain mampu melonjakkan ekonomi negara.
"(Jika mereka kembali kepada PH), itu yang terbaik, setiap orang ada kesilapan dan setiap orang diberikan peluang keinsafan untuk kembali kepada (usaha mengembalikan) mandat rakyat.
"Jadi bagi saya adalah wajar untuk mereka yang mungkin terlanjur dalam langkah sehingga mengabaikan mandat rakyat pada tempoh hari, harus kembali bersama Pakatan Harapan. insyaAllah untuk kita bina kembali (negara Malaysia), kita akan terima (mereka semua) dengan hati terbuka tidak ada masalah," katanya.
BACA: [LAPOR LANGSUNG] Pembentukan kerajaan baharu, siapa PM ke-9?
BACA: PM terpilih menerusi SD perlu kemuka usul undi percaya di Parlimen - Agong
Mahfuz berkata demikian ketika ditemui media selepas menandatangani akuan bersumpah (SD) dalam mencalonkan nama Perdana Menteri di Pejabat Pesuruhjaya Sumpah Rashid, Alor Setar pada Rabu.
Pada Isnin, Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Salahuddin Ayub mengajak semua Ahli Parlimen yang pernah bersama Pakatan Harapan (PH) agar kembali kepada gabungan tersebut.
Menurutnya menerusi akaun Twitter miliknya, pintu kasih sayang sentiasa terbuka luas untuk kawan-kawan seperjuangan kembali semula bersama Pakatan Harapan dalam membina semua negara dan rakyat.
Pada Isnin, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memperkenan peletakan Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Perdana Menteri serta seluruh barisan Ahli Jemaah Menteri berkuat kuasa serta merta.
Dalam pada itu, Baginda turut perkenan untuk melantik Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri sementara (caretaker) sebelum calon Perdana Menteri Baharu dilantik semula.
Kerajaan Perikatan Nasional di bawah pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin tumbang selepas 15 ahli UMNO termasuk Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (Bagan Datuk) menarik sokongan terhadap Kerajaan PN.
Ahmad Zahid membuat pengumuman itu dalam sidang media khas pada 3 Ogos lalu.
#Pakatan Harapan #Mahfuz Omar #Alor Setar #Anwar Ibrahim #Perdana Menteri #Muhyiddin Yassin #Parlimen #Parti Keadilan Rakyat #Zahid Hamidi #Agong #Politik Malaysia
;