PH tak pandang rendah BN di Cameron Highlands

Bernama
Januari 6, 2019 06:00 MYT
SAIFUDDIN: PH menghormati BN kerana pertembungan mereka pada PRK Cameron Highlands 26 Jan ini adalah 'unik'. - Gambar fail
Pakatan Harapan (PH) tidak memandang rendah kekuatan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands, kata Ketua Sekretariatnya Datuk Saifuddin Abdullah.
Beliau berkata PH menghormati BN kerana pertembungan mereka pada PRK Cameron Highlands 26 Jan ini adalah 'unik' memandangkan ia PRK pertama diadakan di kawasan yang dimenangi BN pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
"Bukan hanya (Parlimen Cameron Highlands) dimenangi BN sebelum ini, tetapi ini juga kali pertama kita berdepan PRK di negeri yang masih di bawah pentabiran BN selepas PRU14.
"Pada dua PRK di Selangor dan PRK Parlimen Port Dickson lalu, pentadbiran negeri dan Putrajaya adalah di bawah PH. Jadi kami melihat ini sebagai pertembungan yang menarik minat ramai orang," katanya.
Saifuddin yang juga Menteri Luar berkata demikian kepada pemberita selepas melepaskan 2,050 peserta larian Ultron Kuantan New Year Run and Ride 2019 anjuran bersama Adham Bike Centre di Indera Mahkota 7 di sini, pada Ahad.
Beliau menambah PH juga tidak memandang rendah kekuatan BN di Cameron Highlands kerana peratusan pengundi Orang Asli yang agak besar di situ, memerlukan mereka mengatur strategi tersendiri.
PH juga akan memberi tumpuan kepada pengundi atas pagar kerana golongan ini dilihat sebagai pihak penentu pada PRK Cameron Highlands, katanya.
"Kerisauan kita pada PRK Cameron Highlands adalah peratusan keluar mengundi kerana ada waktunya peratusan keluar mengundi adalah rendah pada PRK...bagaimanapun semua parti dalam PH sudah sepakat untuk bertugas sepenuh masa bagi membantu kemenangan calon," katanya.
PRK Cameron Highlands diadakan ekoran keputusan Mahkamah Pilihan Raya pada 30 Okt lalu, yang membatalkan kemenangan calon BN Datuk C. Sivarraajh ekoran berlaku unsur rasuah pada PRU14.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga menetapkan 12 Jan ini sebagai hari penamaan dan pada Jumaat lalu, Pengerusi PH Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan Naib Pengerusi DAP Pahang M. Manogaran sebagai calon mereka pada PRK tersebut.
Selain itu, Saifuddin yang juga Anggota Parlimen Indera Mahkota melahirkan hasrat supaya aktiviti riadah dapat diadakan setiap bulan sebagai 'pengikat perpaduan antara rakyat dan mempromosikan lokasi menarik sekitar Parlimen Indera Mahkota'.
-- BERNAMA
#Barisan Nasional #BN #Cameron Highlands #Pakatan Harapan #pilihan raya kecil #PRK #Saifuddin Abdullah
;