PH tak jamin Islam, kita terpaksa 'back off'
Sinar Harian
September 17, 2018 09:07 MYT
September 17, 2018 09:07 MYT
Gerakan perubahan diambil Pas bersama mana-mana rakan ganding menetapkan Islam sentiasa diutamakan.
Malah parti dipimpin Datuk Seri Abdul Hadi Awang ini tidak menoleh ke belakang lagi apabila rakan gandingnya yang dulu tidak dapat menjamin Islam di hadapan.
Ketua Penerangan Pas Pusat, Nasrudin Hassan berkata kebersamaan itu pada awalnya memang untuk menggerakkan jentera perubahan namun mereka terpaksa berundur.
"Jadi awalnya kita memang bersama dengan mereka untuk menggerakkan jentera perubahan malah kita pernah bersama menyertai Bersih 1, Bersih 2 dan kita juga menyertai gabungan Pakatan Rakyat (PR) pada peringkat awal.
"Tapi apabila kita melihat aliran gerakan perubahan itu tidak jamin meletakkan Islam di hadapan maka kita terpaksa 'back off'," katanya ketika ditemui selepas Muktamar Pas ke-64 melabuhkan tirai, hari ini.
Katanya, hala tuju Pas dalam menuju ke pilihan raya umum ke-15 (PRU15) dapat disimpulkan dengan jelas selepas muktamar kali ini.
"Kesimpulannya ialah Islam memimpin (tema Muktamar Pas ke-64) dengan maksud Pas akan mencari rakan ganding untuk menghadapi PRU15 .
"Rakan ganding yang boleh menerima dasar dan prinsip perjuangan Islam Pas bawa. Sudah tentunya kita sedang bergerak untuk membawa perubahan," katanya.
Mengimbau gerakan perubahan dulu, Nasrudin berkata Abdul Hadi sendiri telah menegaskan perubahan itu tidak ada makna sekiranya tidak tahu di mana letaknya Islam.
"Memang dulu sudah ada gerakan perubahan tapi seperti mana yang presiden sebut, apa erti perubahan itu jika tidak tahu letak duduknya Islam itu dalam arus gerakan perubahan.
"Jadi apa yang kita nak jana sekarang ialah kita nak beri penekanan kepada masyarakat, perlunya membuat perubahan. Kalau dulu rakyat buat perubahan dengan tumbangkan UMNO-BN, kini kita lihat Pakatan Harapan (PH) juga tidak meletakkan satu kadar perubahan yang tepat dengan kehendak Islam," katanya.
Katanya, dengan mengangkat matlamat Islam memimpin, hala tuju Pas menuju pilihan raya akan datang adalah untuk memastikan gelombang itu adalah gelombang Islam.
#Abdul Hadi Awang
#gelombang Islam
#Islam
#jentera perubahan
#kebersamaan
#kerjasama politik
#Muktamar Pas
#Nasrudin Hassan
#Pakatan Harapan
#Pakatan Rakyat
#pilihan raya
#PRU14
#PRU15
#rakan ganding
#taawun
#tahaluf siyasi