'PH sudah lama sokong Tun M'
Sinar Harian
Februari 12, 2020 06:20 MYT
Februari 12, 2020 06:20 MYT
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyindir tindakan Pas yang mahu membawa usul undi percaya terhadap Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ke Dewan Rakyat.
Katanya, pemimpin Pakatan Harapan (PH) sejak sekian lama telah menyatakan sokongan kepada Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri sebelum Pas mahu berbuat demikian dan membawa usul tersebut ke Dewan Rakyat.
"PH sudah lama menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri sebelum Pas," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan majlis penutup Persidangan Serantau Hidup Bersama Dalam Budaya Damai 2020 di sini pada Rabu.
Sebelum ini, Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan pada satu sidang media bersama memaklumkan usul undi percaya akan dibawa ke Dewan Rakyat.
Menurutnya, usul itu bertujuan menyokong Dr Mahathir kekal sebagai Perdana Menteri sehingga tamat penggal.
Katanya, keputusan tersebut diambil setelah mendapati wujud beberapa pihak yang menggembar-gemburkan rasa tidak puas hati terhadap kepimpinan Perdana Menteri itu namun sehingga kini tiasa usul undi tidak percaya dibuat oleh mana-mana pihak.
#Dewan Rakyat
#Pakatan Harapan
#PAS
#Perdana Menteri
#sokong PM
#Takiyuddin Hassan
#Tuan Ibrahim Tuan Man
#usul undi percaya