PH sepakat guna satu logo, tetapi tidak bersatu semasa penamaan - Penganalisis
Rahimah Abdullah
April 28, 2018 16:07 MYT
April 28, 2018 16:07 MYT
Isu penamaan beberapa calon PKR yang ditolak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mencerminkan ketidaksepaduan Pakatan Harapan (PH) dalam pengurusan individu yang dipilih untuk mewakili blok pembangkang itu.
Pengarah Institut Kajian Etnik (KITA), UKM, Prof Ulung Datuk Shamsul Amri Baharuddin berkata, walaupun parti itu sepakat dalam isu menggunakan logo untuk bertanding, namun sebaliknya yang berlaku dalam proses penamaan calon.
"Saya rasa paling senior adalah DAP, jadi rasa saya sebenarnya tidak ada kesatuan keseluruhan yang dapat dipegang Pakatan Harapan itu sendiri. Ini mencerminkan itu kerana keterperincian yang menjelmakan ketidaksatuan yang sebenarnya.
"Walaupun mereka bersama termasuk menggunakan satu bendera, tetapi masih ada unfinished bussines yang menyebabkan timbul kesilapan," katanya semasa menjadi tetamu Malaysia Memilih 2018 di Astro AWANI di sini hari ini.
Mengenai isu pencalonan Tian Chua yang ditolak, beliau meramalkan berlakunya undi protes di Parlimen Batu pada 9 Mei ini.
"Undi protes ini maksudnya orang tidak datanglah. Ini akan menurunkan bilangan pengundi, namun tidak bererti tiada yang menang sebab soalnya siapakah akan menang walaupun undi sikit," tambahnya.
Tian Chua adalah antara calon PKR yang ditolak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berikutan kes Mahkamah Tinggi Shah Alam melibatkan denda RM2000 pada tahun 2013 atas kesalahan menghina polis.
Pengerusi SPR,Tan Sri Mohd Hashim Abdullah dalam sidang media mendedahkan, 11 kertas penamaan calon ditolak atas pelbagai sebab.
Ia melibatkan tiga calon di parlimen dan lapan calon di Dewan Undangan Negeri (DUN).
#Astro
#Astro Awani
#calon
#DAP
#mahkamah
#Malaysia
#MalaysiaMemilih
#Media
#Pakatan Harapan
#Parlimen
#pembangkang
#pilihan raya
#PKR
#polis
#protes
#shah alam
#Suruhanjaya Pilihan Raya
#Tian Chua