PH sentiasa jaga hak Melayu, Islam - Muhyiddin
Bernama
Februari 26, 2019 05:20 MYT
Februari 26, 2019 05:20 MYT
Timbalan Presiden Pakatan Harapan (PH) Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan kerajaan akan sentiasa menjaga hak dan kepentingan orang Melayu dan agama Islam.
Beliau menarik perhatian bahawa kerajaan PH ketika ini dituduh menjual hak orang Melayu, dan agama Islam, apabila melantik Menteri Kewangan, Peguam Negara dan Ketua Hakim daripada kalangan bukan Melayu.
"Apa yang saya nak katakan, tindakan kerajaan PH tidak bercanggah dengan perlembagaan negara," katanya ketika berucap pada majlis Bicara Rakyat di Sungai Kembung Hilir di sini malam ini dalam siri kempen PH menjelang pilihan raya kecil Semenyih, 2 Mac ini.
Beliau berkata kerajaan sedia dibawa ke mahkamah oleh mana-mana pihak yang mendakwa, apa yang dilakukan kerajaan itu bercanggah dengan perlembangan negara, kerana kerajaan mengetahui hakikatnya bukan begitu.
Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz dikatakan mempersoal beberapa pelantikan itu, ketika berkempen di sini Sabtu lepas.
Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun hari ini berkata polis sedang menyiasat Mohamed Nazri di bawah Akta Hasutan.
Muhyiddin seterusnya berkata soal bangsa bukan kriteria utama dalam memegang jawatan, tetapi mereka perlu beramanah dan bertanggungjawab.
Katanya, menteri kewangan sebelum ini terdiri daripada kalangan Melayu, namun ramai yang melihatnya seolah-olah telah menjatuhkan nama bangsa sendiri.
-- BERNAMA
#akta hasutan
#bangsa
#Barisan Nasional
#Islam
#jawatan
#jual hak
#kaum
#Melayu
#Menteri Kewangan
#Mohamad Fuzi Harun
#Mohamed Nazri Aziz
#Muhyiddin Yassin
#orang Melayu
#Pakatan Harapan
#perlembangan
#pilihan raya kecil
#polis
#Semenyih
#Siasat