'PH sengaja bawa isu banjir, tapi bimbang undi Melayu rendah' - Ahmad Zahid

Afiezy Azaman
September 27, 2022 12:45 MYT
Ahmad Zahid berkata tinjauan tersebut mendapati PH tidak akan mendapat lebih daripada 15 peratus undi Melayu pada PRU15 jika ia diadakan dalam masa terdekat ini. - Foto fail/Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Presiden UMNO menyelar pembangkang yang dikatakan menggunakan isu banjir untuk mengelak Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan sehingga membuat segelintir anggota kerajaan terpengaruh dengan dakyah tersebut.
Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mendakwa, kebimbangan sebenar Pakatan Harapan (PH) ialah pengundi Melayu yang mewakili populasi negara terbesar kurang berminat untuk menyokong gabungan tersebut.
"PH hampir menemui jalan buntu dan tidak mempunyai pilihan selain memerlukan lebih banyak masa. Dengan kata lain, PH cuba "membeli masa" untuk melengahkan pilihan raya umum diadakan.
"Malah menurut sumber portal Malaysianow, pemimpin gabungan itu diberitahu agar membangkitkan isu seperti bencana banjir dan kenaikan inflasi dengan harapan elak sebarang langkah pembubaran Parlimen dalam masa terdekat ini.
"Malah portal tersebut menyatakan beberapa badan pemikir ditugaskan untuk menjalankan penyelidikan mengenai sentimen pengundi terhadap PH dan dijemput membentangkan penemuan mereka," katanya dalam satu kenyataan, pada Selasa.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, pembentangan data daripada tinjauan berasingan mendapati sokongan Melayu terhadap PH berada pada tahap paling rendah.
Ahmad Zahid menambah, tinjauan tersebut mendapati PH tidak akan mendapat lebih daripada 15 peratus undi Melayu pada PRU15 jika ia diadakan dalam masa terdekat ini.
"Dengan kata lain, keputusan PRU15 tidak akan memihak PH disebabkan undi Melayu akan beralih arah kerana pemulihan dan kebangkitan UMNO. Yang paling aneh tidak pula dibentangkan fakta mengenai banjir dan strategi untuk menyantuni rakyat ketika banjir melanda.
"Tidak pula dibentangkan strategi menangani inflasi untuk Malaysia yang kini melanda seluruh dunia. Sebaliknya pembangkang hanya lebih berminat untuk cuba memikirkan strategi untuk menang PRU15 daripada memikirkan masalah rakyat dalam pemukiman tersebut.
"Ini menunjukkan sikap sebenar pembangkang. Yang anehnya terdapat sekutu bersama UMNO masih lagi terpedaya dengan dakyah pembangkang tersebut atau mereka sebenarnya ada motif mereka sendiri yang mereka sendiri untuk melengahkan PRU15 sebelum musim tengkujuh bermula," ujarnya.
#PRU15 #Ahmad Zahid Hamidi #banjir #Pakatan Harapan
;