PH sedia bincang dengan BN hadapi PRN Selangor tahun depan - Amirudin
Bernama
November 30, 2022 20:01 MYT
November 30, 2022 20:01 MYT
SHAH ALAM: Pakatan Harapan (PH) Selangor sedia berbincang dengan Barisan Nasional (BN) untuk menjalinkan kerjasama bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor tahun depan, kata Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari.
Beliau berkata pihaknya kini ke arah perbincangan dengan BN untuk mendapatkan persefahaman antara mereka bagi meneruskan kerjasama di peringkat Persekutuan yang berjaya membentuk kerajaan dengan nilai kestabilan.
"Walaupun Selangor sudah cukup stabil, kita tidaklah besar kepala atau bersikap tamak haloba, Kalau ada ruang perbincangan... kita bincang," katanya ketika ditemui pemberita di Bangunan Annex, Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kemungkinan PH dan BN akan bekerjasama bagi menghadapi PRN Selangor pada tahun hadapan.
"Saya sebagai Pengerusi PH Selangor berharap kita dapat mengekalkan Selangor, kalau terpaksa sendirian kita sendirianlah, kalau dapat gabungan dari rakan lain mungkin boleh membantu kita di beberapa kerusi lagi...kita terbuka untuk perbincangan untuk kerjasama pada PRN akan datang," katanya.
Mengenai kedudukan Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, yang kini disandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Air Tawar Datuk Rizam Ismail daripada BN, Amirudin berkata tumpuan harus diberikan kepada pilihan raya negeri dan bukannya kedudukan kerusi DUN termasuk siapa akan menjadi ketua pembangkang.
Beliau berkata hala tuju parti parti sama ada PH atau BN dijangka nampak lebih jelas menjelang pilihan raya negeri yang berbaki kira-kira enam bulan sebelum tempoh DUN tamat.
-- BERNAMA