PH Sabah tidak setuju DUN dibubar

Mirlen Axtius
Januari 7, 2023 17:50 MYT
PH Sabah sama sekali tidak setuju untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri itu.- Fail/BERNAMA
KOTA KINABALU: Pakatan Harapan (PH) Sabah menyatakan pendirian tidak bersetuju Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan susulan ketidaktentuan politik di negeri Itu.
ADUN PH itu turut mengulangi pendirian mereka yang tidak bersetuju dan tidak menyokong mana-mana pihak untuk melakukan gerakan menubuhkan kerajaan baharu melalui 'pintu belakang'.
Mereka berpendirian untuk lebih mengutamakan kestabilan politik, ekonomi dan kebajikan rakyat Sabah, bukan jawatan, serta kuasa.
"Seharusnya fokus utama kita adalah memastikan matlamat perjuangan kita membantu rakyat dan membangun ekonomi serta bersama-sama berusaha untuk memastikan perjuangan MA63 direalisasikan selaras dengan hasrat Yang Amat Berhormat Perdana Menteri.
"Kami mengulangi pendirian kami sebelum ini bahawa kami tidak menyokong sebarang usaha untuk menggulingkan kerajaan melalui cara 'pintu belakang'," katanya dalam satu kenyataan media bersama pada Sabtu.
Pada masa sama, kenyataan itu turut berkata bahawa PH Sabah sama sekali tidak setuju untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri itu.
"Kami juga tidak bersetuju untuk Dewan Undangan Negeri dibubarkan sekiranya kemelut ini terus berterusan dan kedudukan DUN buat masa ini terus tergantung (Hung State Assembly).
"Sehubungan itu, kami ingin memaklumkan bahawa tujuh ADUN dari PH memberi sokongan penuh kepada Ketua Menteri sedia ada, iaitu Datuk Seri Hajiji Noor yang juga merupakan ADUN Sulaman," tegas kenyataan itu lagi.
Tambah kenyataan itu, ini adalah selari dengan prinsip mereka untuk memastikan kestabilan politik di Sabah terus terjaga dan tidak terlibat dalam langkah seperti 'Langkah Sheraton'.
"Susulan sokongan ini, kami bersetuju bahawa satu Kerajaan Perpaduan Sabah boleh dibentuk seperti amalan di peringkat Persekutuan," katanya.
Tujuh ADUN yang terlibat itu adalah, Datuk Christina Liew (DUN Api-Api–PKR); Datuk Frankie Poon Fung Ming (Tanjung Papat–DAP), Datuk Ewon Benedick (Kadamaian-UPKO), Phoong Jin Zhe (Luyang-DAP), Jannie Lasimbang (Kepayan-DAP), Tan Lee Fatt (Likas-DAP) dan Peto Galim (Inanam-PKR).
Semalam, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin yang juga Ketua Badan Perhubungan UMNO negeri pada sidang media, mengumumkan pendirian UMNO dan BN Sabah untuk menarik sokongan terhadap Hajiji, susulan hilang kepercayaan terhadap kedudukannya sebagai Ketua Menteri, selain perjanjian antara BN dan Perikatan Nasional (PN) dilanggar.
Bung Moktar berkata BN dan PN melaksanakan perjanjian membentuk kerajaan Sabah selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 2020, namun Hajiji serta pemimpin Bersatu Sabah yang juga komponen PN, keluar parti menyebabkan kerajaan negeri sekarang tiada keabsahan.
DUN Sabah mempunyai 79 ADUN iaitu 73 ADUN yang dipilih dan enam ADUN dilantik.
Dengan tindakan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), serta UMNO dan BN Sabah menarik sokongan malam tadi, Kerajaan Sabah diterajui Hajiji hanya mempunyai sokongan 38 ADUN iaitu 29 daripada GRS, PH (tujuh),dan masing-masing seorang ADUN daripada Parti Harapan Rakyat Sabah dan Bebas.
#Politik Sabah #PH Sabah #ADUN Sabah #Hajiji Noor
;