PH Sabah sedia jalin kerjasama bipartisan dengan GRS
Eleanor Michelle Patrick
Oktober 25, 2021 16:29 MYT
Oktober 25, 2021 16:29 MYT
KOTA KINABALU: Pakatan Harapan Sabah bersedia untuk kerjasama bipartisan bersama kerajaan negeri, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) namun ingin merangka garis panduan yang jelas mengenai hubungan kerja mereka.
Pengerusi Pakatan Harapan Sabah, Datuk Christina Liew berkata, kesediaan kerjasama itu selaras dengan Memorandum Persefahaman (MoU) ditandatangani Kerajaan Persekutuan bersama PH.
Menurutnya, pemimpin pembangkang yang terdiri daripada DAP, PKR, Amanah dan UPKO di Sabah turut bersetuju untuk membentuk jawatankuasa khas dalam kalangan mereka bagi menyelesaikan isu yang perlu ditangani dan mencadangkan strategi pembangunan semula negeri.
Kata Christina, PH Sabah telah memulakan perbincangan mengenai cadangan MoU itu sejak bulan lalu.
"Draf awal mengenai MoU itu hampir selesai. Sebarang keputusan akan mengambil kira terma perjanjian kerjasama bipartisan dengan kerajaan.
"Saya berharap kenyataan ini dapat mengelakkan kekeliruan berhubung kerjasama ini. Kita akan membuat pemakluman rasmi mengenai perkara ini," katanya dalam kenyataan.
Tambah Christina, semua komponen parti terlibat secara langsung dalam perbincangan di bawah satu payung Sabah Agenda Reform yang menekankan kestabilan kerajaan, pemulihan ekonomi dan mengawal COVID-19 di Sabah.
"Isu lain yang berkaitan yang diliputi adalah berkaitan dengan hak perlembagaan Sabah, termasuk Perjanjian Malaysia 1963 (MA63)," katanya.