PH perlu segera mansuh AUKU 1971 - Wakil pelajar

Atiqah Ismail
Jun 28, 2018 16:40 MYT
Pengasas Aktivis Demokrat Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Asheeq Ali berkata majlis perwakilan pelajar perlu dilantik sebahagian Ahli Senat universiti menerusi pilihan raya adil dan bersih.-Foto Astro AWANI
Pakatan Harapan (PH) diminta segera memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 selain melantik mana-mana wakil daripada Majlis Perwakilan Pelajar untuk menjadi Ahli Senat bagi mana-mana universiti di negara ini.
Pengasas Aktivis Demokrat Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Asheeq Ali berkata, AUKU yang sudah berusia lebih 50 tahun menafikan hak kebebasan bersuara sekali gus mengetepikan penglibatan mahasiswa dalam hal urus tadbir di institusi pengajian tinggi.
"Ahli Senat universiti perlu dilantik menerusi pilihan raya yang bersih dan adil.
"Selain memansuhkan AUKU, kami mahu kerajaan mengembalikan Akta Universiti Malaya 1961 kerana ia tidak meletakkan bidang kuasa menteri untuk melantik mana-mana individu dalam pentadbiran.
"Ia sekali gus memberi ruang serta peluang kepada mahasiswa untuk menentukan serta mengawal selia universiti masing-masing," katanya semasa sidang media AUKU di sini, hari ini.
Dalam sidang media berkenaan, Asheeq turut mendedahkan rentetan pelanggaran hak kebebasan bersuara dan perhimpunan aman sehingga beberapa mahasiswa dari beberapa universiti awam digantung pengajian.
Antaranya, Anis Syafiqah Mohd Yusof, Luqman Hakim Mohd Fazli, Mukmin Nantang dan Suhail Wan Azhar.
Dalam pada itu, Asheeq menegaskan, gesaan itu merupakan antara tuntutan Badan Bukan Kerajaan, Forty Rights serta sekumpulan aktivis mahasiswa dari Gerakan Reformasi Institusi Pendidikan Tinggi (GRIP)
Katanya lagi, Kementerian Pendidikan juga diminta membuka pintu dan bekerjasama dengan mahasiswa untuk memastikan tuntutan mereka menjadi kenyataan.
Asheeq sebelum ini dua kali digantung universiti, beberapa kali dihalang selain namanya disenarai hitam untuk memasuki beberapa universiti awam.
"Saya pernah dihalang memasuki beberapa universiti awam antaranya Universiti Islam Antarabangsa (UIA) atas alasan seorang yang bersifat kontroversi.
"Ketika itu, saya dan rakan-rakan hanya ingin mengadakan sesi perkongsian berkaitan kesan kawalan universiti yang berlebihan.
"Pihak polis telah menangkap dan kemudian menghalau saya dari universiti berkenaan. Bukan itu sahaja, rakan saya, Ainina Sofia ditahan dan disoal siasat selama dua jam kerana menganjurkan diskusi itu," jelasnya.
Kali terakhir AUKU dipinda ialah pada 2012 iaitu kali kelima sejak ia dilaksanakan pada 1971.
Pada pindaan terakhir, mahasiswa dibenarkan berpolitik tetapi hanya di luar dari kawasan universiti.
BACA: AUKU tidak perlu dimansuh, hanya tambah baik - Wakil pelajar
BACA: AUKU wajar dimansuhkan, tingkat autonomi universiti - Mahasiswa UM
Sebelum ini, Ketua Setiausaha Sekretariat PH, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, Kerajaan PH akan mengotakan janji untuk memansuhkan AUKU dan pelbagai akta mengongkong kebebasan pelajar dan pensyarah seperti dijanjikan dalam manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
Jelasnya, satu akta baharu akan digubal untuk melicinkan pentadbiran bagi menggantikan akta berkenaan.
BACA: Mahasiswa boleh berpolitik, namun jangan sampai dipergunakan - Idris
BACA: Jadikan universiti pusat percambahan pemikiran masyarakat - Hilman UKM4
#1971 #ahli senat #Akta Universiti dan Kolej Universiti #Akta Universiti Malaya 1961 #Asheeq Ali #Atiqah Ismail #AUKU #Forty Rights #Gerakan Reformasi Institusi Pendidikan Tinggi #Kementerian Pendidikan #Pakatan Harapan #wakil pelajar
;