PH panik cadangan undang-undang berita palsu ke Parlimen - Ibdilillah
Astro Awani
Mac 5, 2018 07:00 MYT
Mac 5, 2018 07:00 MYT
Pakatan Harapan (PH) kini di dalam keadaan panik selepas cadangan penggubalan undang-undang bagi menangani penyebaran berita palsu dan fitnah di media sosial disokong Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V.
Pengerusi Biro Media Sosial Pemuda UMNO, Ibdilillah Ishak menegaskan, ia sekali gus membuktikan usaha menipu dan mengelirukan rakyat dengan menggunakan berita palsu serta fitnah media sosial bakal dibanteras habis-habisan.
"Menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), saya menjangkakan penularan berita palsu dan fitnah di media sosial oleh Pakatan Harapan akan bertambah hebat.
"Inilah satu-satunya strategi yang sering diguna pakai tatkala mereka sudah berada di dalam keadaan yang terdesak dan ketandusan isu.
"Sehingga hari ini berita palsu seperti 40 ribu warga Bangladesh mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) kekal sebagai antara pembohongan terbesar yang pernah dilakukan pihak pembangkang," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V ketika merasmikan Mesyuarat Pertama Penggal Keenam Sidang Parlimen ke-13 hari ini di Dewan Rakyat menyokong cadangan penggubalan undang-undang bagi menangani penyebaran berita palsu dan fitnah di media sosial.
Titah baginda, pada masa ini, media sosial amat berpengaruh dalam membentuk nilai dan budaya sesuatu masyarakat.
"Semua pihak hendaklah memainkan peranan masing-masing untuk mempertahankan budi pekerti dan nilai-nilai baik masyarakat," titah baginda.
Dalam pada itu jela Ibdilillah, rakyat sendiri tentu tidak akan rela dijadikan mangsa berita palsu yang ditularkan pemimpin-pemimpin pembangkang sekali lagi.
"Rakyat menjunjung kasih di atas perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V menzahirkan keprihatinan dan sokongan terhadap cadangan penggubalan undang-undang menangani gejala penyebaran berita palsu dan fitnah di media sosial.
"Bak titah ucapan Seri Paduka Baginda hari ini, media sosial merupakan medium yang sangat berpengaruh dalam membentuk nilai-nilai dan budaya masyarakat pada era digital ini.
"Sesungguhnya penggubalan undang-undang baru ini adalah suatu keperluan masa kini," ujarnya.
Ibdillah turut mengucapkan tahniah kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak yang telah berjaya mengharungi pelbagai cabaran, fitnah dan tohmahan pihak lawan dengan sabar, tenang dan bijaksana.