PH P.Pinang bermesyuarat hari ini bincang pengagihan kerusi PRN
Bernama
April 29, 2023 20:20 MYT
April 29, 2023 20:20 MYT
BATU KAWAN: Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang mengadakan mesyuarat petang ini bagi memuktamadkan agihan kerusi dalam kalangan parti komponen PH di negeri itu untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.
Pengerusi PH Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata mesyuarat itu juga diadakan sebagai persiapan sebelum PH Pulau Pinang mengadakan mesyuarat bersama Barisan Nasional (BN) minggu depan.
"PH akan adakan mesyuarat petang ini dan saya harap kita dapat memuktamadkan keputusan bagi PH sebelum ia dibawa untuk rundingan dengan BN dan UMNO," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Batu Kawan dan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Tambun di Taman Tangling, di sini hari ini.
Mengenai kenyataan Pengerusi MCA Pulau Pinang Datuk Tan Teik Cheng yang mahu rundingan agihan kerusi antara PH dan BN bagi PRN Pulau Pinang turut melibatkan semua parti komponen BN, Chow berkata perkara itu perlu diuruskan oleh BN.
"Hal ini perlu diuruskan dalam BN. Hari ini (mesyuarat) PH saja, selepas itu baru dengan BN dan UMNO," katanya.
Pada Pilihan Raya Umum ke-15 November lepas, Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan dan Terengganu tidak membubarkan DUN namun media sebelum ini melaporkan pemimpin enam negeri itu mencapai kata sepakat bahawa masa paling sesuai bagi pembubaran DUN masing-masing adalah dalam dua minggu terakhir Jun.
-- BERNAMA