PH nampak bersedia terajui semula Putrajaya, tiada tentangan Pejuang dan Warisan - Penganalisis
Astro Awani
Ogos 10, 2021 18:25 MYT
Ogos 10, 2021 18:25 MYT
KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan (PH) dilihat lebih bersedia untuk menerajui kerajaan berbanding semasa pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 yang lalu.
Penganalisis politik dari Universiti Malaya (UM), Profesor Madya Awang Azman Awang Pawi berpandangan begitu selepas melihat tidak wujud sebarang masalah antara PH dengan rakan-rakan parti komponen lain seperti Parti Warisan Sabah (Warisan) dan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).
"Saya kira, mereka bersatu, tidak ada isu. Dalam masa terdekat ini tidak timbul lagi isu siapa bakal terajui kerajaan Pakatan Harapan.
"Berdasarkan situasi dan perkembangan semasa yang kita pantau ketika ini, kita dapat lihat mereka seolah-olah sekata, mempunyai 'musuh' yang sama dan matlamat yang sama.
"Mereka selesaikan dahulu gerakan (menolak Tan Sri Muhyiddin) ini dan mereka bersama-sama secara konsensus untuk putuskan ataupun sudah diputuskan hala tuju mereka," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Mengulas lanjut, Awang Azman berkata tidak ada lagi suara dalam Warisan mahupun Pejuang yang menolak atau melabelkan unsur negatif terhadap PH ataupun Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Ini seolah-olah meyakinkan rakyat bahawa mereka telah bersatu hati dan melupakan segala permusuhan lama.
"Tumpuan mereka yang akan datang adalah untuk menubuhkan kerajaan dan memastikan perang melawan pandemik COVID-19 dapat dilaksanakan dengan lebih efisien lagi," katanya.
Muhyiddin dalam Perutusan Khasnya pada 4 Ogos lepas memaklumkan Yang di-Pertuan Agong telah memberi perkenan untuk beliau menentukan keabsahannya di Parlimen melalui undi percaya pada September ini.
#Anwar Ibrahim
#Pakatan Harapan
#pilihan raya umum
#pilihan raya
#pandemik
#COVID-19
#kerajaan baharu
#pembentukan kerajaan
#sokongan Anwar Ibrahim
#Politik Malaysia