PH N. Sembilan sedia sebarang kemungkinan hadapi PRU15
Bernama
Jun 15, 2022 18:53 MYT
Jun 15, 2022 18:53 MYT
SEREMBAN: Kerajaan Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan bersedia menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) selain kemungkinan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) lebih awal.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, perkara itu mengambil kira jika PRU15 diadakan selepas pembentangan Belanjawan 2023.
Beliau berkata, jangka masa tersebut adalah hampir sehingga tempoh penggal DUN negeri ini tamat pada pertengahan tahun depan.
"Sekiranya ada pilihan raya pada waktu itu, kerajaan negeri akan buat keputusan, jika PRU pada November, ia hampir dengan tamat tempoh kita... jadi ia akan dipertimbangkan.
"Keenam-enam negeri (ditadbir PH dan PAS) akan berbincang, supaya ada keputusan bersama, sama ada pilihan raya disekalikan dengan peringkat Persekutuan dan negeri," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di sini hari ini.
Aminuddin berpendapat, PRU15 tidak wajar dilakukan ketika ini dan seharusnya memberi tumpuan dalam menyelesaikan masalah dihadapi rakyat terutama peningkatan kos sara hidup yang tinggi.
"Saya harap biarlah sampai ke hujung (tamat tempoh penggal) setelah kita dapat bantu semua rakyat, kemudian kita serahkan kepada mereka dan menghormati demokrasi. Kita tidak mahu nanti, rakyat rasa kecewa dan apabila buat pilihan raya umum, mereka tidak keluar mengundi," katanya.
Mac lepas, Aminuddin dilaporkan berkata, enam negeri termasuk Negeri Sembilan dijangka tidak akan membubarkan DUN masing-masing sekiranya PRU15 diadakan dalam masa terdekat.
PRU14 pada 2018 menyaksikan Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Selangor diperintah oleh PH manakala PAS membentuk kerajaan di Kelantan, Terengganu serta Kedah. - BERNAMA