PH mampu bangunkan Cameron Highlands - Guan Eng
Isabelle Leong
Januari 16, 2019 06:00 MYT
Januari 16, 2019 06:00 MYT
Kerajaan Pakatan Harapan (PH) mampu membawa perubahan yang diinginkan penduduk Cameron Highlands, berbanding kerajaan Barisan Nasional (BN) yang tidak mampu melakukannya, kata Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.
Kata Menteri Kewangan itu, dalam konteks Malaysia Baharu, tampuk pemerintahan kini sudah berubah, namun Cameron Highlands masih ketinggalan daripada segi kemajuan di bawah pemerintahan kerajaan negeri, iaitu kerajaan BN.
"Sungguhpun kerajaan, satu Malaysia, dah ubah, tetapi (kawasan Parlimen) Cameron Highlands belum lagi ubah. Kenapa perlu ubah sekarang? Supaya kali ini kita dapat lihat pembangunan yang ketara.
"Di bawah kerajaan dulu, tidak lihat apa yang diharapkan. Sekarang inilah peluang untuk dapatkan sesuatu yang diharapkan, di mana kerajaan persekutuan dan negeri sama-sama bangunkan Cameron Highlands," katanya ketika ditemui media di Sungai Koyan 1 di sini pada Rabu.
Ujarnya, jika PH gagal membawa perubahan yang dijanjikan, pengundi Cameron Highlands berhak menukar semula undi mereka pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.
"Sekiranya tidak jalan (tiada perubahan), pada PRU15 mereka boleh ubah lagi.
"Tetapi sekiranya PH menang, sekurang-kurangnya ada suntikan nafas baharu. Itulah yang kita harapkan, supaya rakyat boleh beri peluang kepada Kerajaan Persekutuan PH," tambahnya.