PH kini liabiliti politik kepada Tun M - Rahim Tamby Chik
Astro Awani
Januari 19, 2020 11:58 MYT
Januari 19, 2020 11:58 MYT
Pakatan Harapan (PH) kini merupakan satu liabiliti politik kepada Tun Dr Mahathir Mohamad dan bukannya lagi satu aset bagi merealisasikan impian rakyat seperti yang dimandatkan dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.
Pengerusi Yayasan Penggerak Wawasan (YPW), Tan Sri Rahim Tamby Chik berkata, Perdana Menteri kini memerlukan satu gagasan politik baharu yang lebih sihat dan stabil untuk memastikan hasrat rakyat akhirnya tertunai.
“Gagasan politik yang lebih sihat maksudnya satu gagasan di mana komponennya tidak merancang dan tidak terjebak dalam politik kotor dalaman dengan agenda peralihan kuasa atau rampasan kuasa melalui desakan dan kata dua (ultimatum) yang amat jijik di kaca mata rakyat.
“Perangai sebegini rupalah yang telah menyebabkan PH terpaksa membayar harga yang tinggi dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai dan Kimanis serta menjadi semakin tidak popular.
“Bila pemimpin membiarkan penyokong membidas dan mengecam pemimpin utama secara serius, tanpa segan silu dan tanpa hormat dalam gagasan sendiri, ertinya disiplin dan digniti telah dikompromi,” katanya dalam catatan terbaharu di laman Facebooknya.
Rahim turut menggambarkan, tanpa disiplin dan digniti, mana-mana organisasi akan mula menjadi reput dan basi.
“Gagasan politik yang stabil maksudnya komponen-komponen wajar mempastikan wakil-wakil mereka di dalam kerajaan memberi perkhidmatan terbaik dan paling efisien kepada rakyat melalui pelantikan yang dilakukan oleh Perdana Menteri dalam Kabinet.
“Mungkin pengalaman kurang tetapi melalui masa kematangan dan keberkesanan ahli-ahli Kabinet perlu meningkat ke tahap ekspektasi rakyat.
“Sepatutnya apabila satu-satu dasar nasional diisytiharkan untuk rakyat oleh Perdana Menteri, menteri-menteri perlu turun ke bawah sebagai panglima dan hulubalang untuk bertemu rakyat di peringkat akar umbi di seluruh negara dan mempastikan rakyat bukan sahaja faham tentang dasar berkenaan tetapi bersedia melibatkan diri bersama-sama dalam menjayakan objektif-objektif dasar,” ujarnya.
Tegasnya, kerajaan seperti itulah yang diimpikan rakyat dan Rahim turut berdoa ia akan menjadi kenyataan secepat mungkin.
Dalam pada itu, Rahim turut menjelaskan, Dr Mahathir yang juga Perdana Menteri adalah milik Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) selain menerajui PH
“Kerana itu, akauntabiliti politik yang paling utama adalah kepada Bersatu. Lepas itu, baru yang lain-lain.
“Itu sebabnya bila ada desakan kuat supaya Bersatu menjadi parti pelbagai kaum oleh komponen-komponen lain dalam PH, desakan itu telah diusulkan di dalam Perhimpunan Agung Bersatu, dibahaskan dan seterusnya telah ditolak oleh seluruh perwakilan dalam perhimpunan tersebut. Maka kekallah Bersatu apa yang kita lihat sekarang.
“Dalam soal peralihan kuasa yang didesak oleh sebahagian komponen PH secara agresif dan keterlaluan, tradisi yang sama wajib diaplikasikan,” jelasnya.
Katanya lagi, isu peralihan kuasa bukan persoalan yang termaktub dalam mandat rakyat kepada Dr Mahathir.
“Ia juga tidak termasuk dalam janji-janji PH dalam manifesto PRU. Kalau pun ada janji peribadi Dr Mahathir tentang peralihan kuasa, perlu diketahui dan diakui soal janji peribadi (lebih-lebih lagi dibuat secara santai) tidak boleh mengatasi sama sekali soal dan kepentingan parti yang terlibat.
“Sebaliknya ia adalah soal hidup mati atau survival sesebuah parti dalam kancah politik negara,” ujarnya.
Oleh yang demikian katanya, jika ada cadangan peralihan atau pemindahan kuasa oleh Dr Mahathir atau yang dipaksa ke atasnya, maka hendaklah ianya terlebih dulu dibawa dan diusulkan dalam satu perhimpunan Agung Khas Bersatu, dibahaskan serta diputuskan oleh perhimpunan itu.
“Hanya oleh perhimpunan ini sahaja satu-satu keputusan boleh dibuat berkaitan pemindahan kuasa oleh Penasihat Bersatu.
“Cara desakan melampau atau cara sabotaj tidak akan dapat diterima dalam amalan demokrasi di negara ini,” jelasnya.
#kabinet
#Mahathir Mohamad
#Malaysia
#Manifesto
#Pakatan Harapan
#pilihan raya kecil
#pilihan raya umum
#politik
#PPBM
#PRU
#Rahim Tamby Chik
#Tamby Chik