PH kini dilanda kekalutan?
Datuk M Periasamy
Ogos 9, 2019 10:00 MYT
Ogos 9, 2019 10:00 MYT
SUDAH lebih setahun Pakatan Harapan (PH) yang disertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Democratic Action Party (DAP), Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Amanah Negara (Amanah) menguasai Putrajaya serta mentadbir negara ini.
Rakyat pelbagai kaum menyokong hebat PH dan mengundi PH sebagai parti pemerintah sekali gus menjatuhkan Barisan Nasional (BN) ditunjangi UMNO yang memerintah selama 61 tahun sejak negara mencapai kemerdekaan atau Pilihan Raya Umum (PRU) yang pertama.
Namun, peristiwa serta percakapan orang awam atau gosip dan laporan media sosial akhir-akhir ini menunjukkan bukan sahaja rakyat merentasi kaum berasa gelisah dan kecewa malah keliru dengan pentadbiran dan dasar-dasar kerajaan yang diumumkan oleh pentadbiran kerajaan PH dari semasa ke semasa.
Umpamanya, pengenalan tulisan khat dalam subjek Bahasa Malaysia bagi darjah empat di sekolah vernakular atau Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SRJKC) dan Tamil (SRJKT) mulai tahun hadapan.
Sebahagian besar warga bukan Melayu keliru dan menzahirkan perasaan tidak puas hati terhadap dasar Kementerian Pendidikan yang mengenalkan subjek khat bukan kerana mereka tidak setuju subjek itu diajar di sekolah Cina dan Tamil, tetapi mereka marah dan membantah kerana salah faham terhadap hasrat Kementerian Pendidikan mengenalkan subjek khat di sekolah Cina dan Tamil.
Kementerian Pendidikan didapati kurang menerangkan matlamat kerajaan PH mengenalkan subjek khat itu di sekolah vernakular.
Konflik dalaman
Pada masa yang sama, adalah dikesan hampir semua parti gabungan PH dilanda konflik dalaman.
PKR, sebuah parti komponan utama yang menang paling banyak kerusi (48) di antara parti-parti PH kian dilanda konflik dalaman dan sukar dipulih kekusutanya.
Mereka tidak sehaluan dalam menghadapi isu Tun Dr Mahathir Mohamad menyerah jawatan perdana menteri kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bukan sahaja menimbulkan konflik dalaman malah membahagikan ahli-ahlinya dalam dua kumpulan yang bertentangan iaitu satu kumpulan menyokong Anwar dan satu lagi kumpulan menyokong Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
DAP, yang merupakan sebuah parti yang sama kuat seperti PKR kerana menang hampir sama banyak kerusi dalam PRU14 (42) juga kini mengadapai masalah dalaman.
Media melaporkan kononnya Penasihat bersama Setiausaha Agung DAP menyokong pengenalan subjek khat oleh Kementerian Pendidikan di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil.
Manakala, satu pihak yang lain termasuk lebih 138 cawangan dan ahli jawatankuasa parti di peringkat Parlimen membantah pengenalan khat di sekolah vernakular.
Contohnya, DAP Sarawak yang dilapor menentang keras tindakan kerajaan PH mengenalkan subjek khat di sekolah SJKC dan SJKT.
Malah, sayap pemuda PPBM, Armada membidas Dr Ramasamy, ahli jawatan kuasa tertinggi DAP merangkap Timbalan Ketua Menteri kedua Pulau Pinang sebagai rasis dan biadab kerana menentang pengenalan khat di sekolah Cina dan Tamil.
Pada masa sama, PPBM, parti yang menang kecil (13 kerusi) tetapi pengerusinya, Dr Mahathir, dilantik sebagai Perdana Menteri yang ketujuh, juga dilaporkan menghadapi masalah dalaman parti.
Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan baru-baru ini bahawa gelombang keluar parti mula melanda parti itu.
Jadi, semua parti-parti gabungan PH, yang memerintah dan parti UMNO, selaku parti pembangkang utama dilaporkan dilanda dengan pelbagai masalah dalaman yang mungkin akan menjejaskan kekuatan dan perpaduan parti masing-masing.
Kurang stabil
Kekalutan yang melanda parti-parti PH serta gabungan parti-parti yang memerintah jelas menunjukkan kedudukan politik adalah kurang stabil malah menimbulkan tanggapan negatif terhadap kerajaan semasa pada pelabur-pelabur asing.
Sekiranya tanggapan negatif terhadap kestabilan politik terhadap negara kurang diurus dengan hemah dan baik maka kadar pembangunan ekonomi negara akan merosot, nilai ringgit akan jatuh berbanding dengan mata wang dolar, kadar pelaburan asing akan merosot, hutang negara akan meningkat, pengangguran akan terus meningkat dan sara hidup rakyat terus melambung.
Persoalannya, apakah suasana politik yang kurang sihat ini menyebabkan para penganalisis politik termasuk pemimpin politik yang berpengalaman malah negarawan Tengku Razaleigh Hamzah menjangka PRU-15 akan diadakan pada bila-bila masa sahaja.
Apakah PH mampu menang hebat seperti diperoleh mereka pada PRU14?
*Datuk M. Periasamy merupakan seorang penganalisis politik, budaya dan tamadun India.
** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
#Anwar Ibrahim
#DAP
#India
#Melayu
#Muhyiddin Yassin
#Pakatan Harapan
#Parlimen
#pilihan raya
#PKR
#PPBM
#UMNO