PH Kedah tidak gentar penyatuan ummah UMNO-Pas
Adie Sufian Zulkefli
September 25, 2019 06:40 MYT
September 25, 2019 06:40 MYT
Pakatan Harapan (PH) Kedah tidak gentar dengan penyatuan ummah antara UMNO dan Pas kerana tahu jalinan itu hanya sekadar menutup isu berkaitan pemimpin tertinggi mereka yang kini berdepan pertuduhan mahkamah.
Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, melihat kepada perkembangan sekarang, kerjasama UMNO-Pas itu lebih terarah kepada usaha mengembalikan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak sebagai pemimpin dan menghalalkan semua tuduhan jenayah yang didakwa terhadapnya.
"Tujuannya pada pandangan kami, adalah tak lain tak bukan, untuk kepentingan politik semata-mata.
"Yang pertamanya, UMNO dalam keadaan yang terdesak kerana kepimpinan tertinggi mereka mempunyai masalah di mahkamah, dan bekas presiden mereka juga keluar masuk mahkamah.
"Jadi, kononnya ada penyatuan. Ini tentunya bertujuan untuk menyelamatkan kepimpinan mereka sendiri," kata Mukhriz.
Bagaimanapun, soalnya, apakah atas nama penyatuan Melayu dan Islam, rasuah, salah guna kuasa dan jenayah boleh dihalalkan?
Beliau berkata demikian pada satu sidang media selepas perjumpaan dengan komponen PH, di Stargate, di sini, malam tadi.
Menteri Besar itu turut mempersoalkan sama ada Pas sudah menganggap Najib yang sedang menghadapi tuduhan-tuduhan rasuah dan salah guna kuasa, tidak bersalah.
Katanya, mereka sepatutnya sedar bagaimana beberapa buah bank terkenal dunia telah ditutup dan pegawai-pegawainya didakwa dan dijel kerana pembabitan di dalam skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Di Kedah sendiri, menurutnya, penyatuan ummah itu hanya menunjukkan Pas akan jadi dominan, memandangkan ketika ini mereka mempunyai 15 kerusi berbanding UMNO 2 kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN).
Ini sudah tentu membuatkan Pas tidak akan melepaskan banyak kerusi kepada UMNO, dan seterusnya UMNO harus menerima hakikat melepaskan Kedah kepada Pas, sekiranya mereka menang pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) nanti, tambah Mukhriz.
"Penyatuan ummah ini perlu dimulakan dengan keempat-empat negeri di mana Pas atau pun Barisan Nasional berkuasa.
"Mereka perlu menunjukkan bahawa penyatuan ummah ini boleh diterjemahkan dalam bentuk kerajaan campuran di antara UMNO dan Pas.
"Jadi, mulakanlah dengan Terengganu dan Kelantan, dan juga Perlis dan Pahang. Kalau itu pun tak boleh buat, maka kita ragu-ragu, adakah penyatuan ummah ini betul betul akan berjaya dalam PRU15," katanya.
Beliau yang juga Timbalan Presiden Bersatu berkata, seperkara lagi yang pihaknya sangat tidak boleh terima ialah dakwaan bahawa kononnya kerajaan PH tidak membela nasib masyarakat Melayu Islam.
#Barisan Nasional
#Halal
#Mahathir Mohamad
#mahkamah
#Mukhriz Mahathir
#Najib Razak
#Pakatan Harapan
#PAS
#pemimpin
#Penyatuan Ummah
#tuduhan jenayah
#UMNO