PH Kedah sedia bekerjasama dengan Pejuang hadapi PRU15

Abd Hadi Che Awang
Januari 7, 2021 16:48 MYT
Phahrolrazi berkata keterbukaan pihaknya terutama Amanah selaras seruan presiden parti itu untuk memperbanyakkan rakan dan mengurangkan musuh politik.
ALOR SETAR: Pakatan Harapan (PH) Kedah mengambil pendirian untuk terbuka dalam menjalinkan kerjasama dengan mana-mana pihak termasuk Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Timbalan Pengerusi PH Kedah, Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi, berkata keterbukaan pihaknya terutama Parti Amanah Negera (Amanah) selaras seruan presiden parti itu untuk memperbanyakkan rakan serta mengurangkan musuh politik.
"Dalam konteks Kedah, kami memegang pandangan presiden kami (Mohamad Sabu)... kita hendaklah banyakkan kawan dan mengurangkan lawan. Rakan-rakan Pejuang adalah merupakan rakan kami dahulu (dalam Bersatu).
"Dalam konteks pilihan raya akan datang, kita akan terus bekerjasama (dengan mereka)... dalam konteks Kedah, kita akan bekerjasama dengan rakan daripada penaja Pejuang," katanya.
Beliau mengulas mengenai perkembangan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) menolak pendaftaran Pejuang yang dipimpin bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menerusi satu surat yang dikeluarkan pada Rabu.
BACA: RoS tolak pendaftaran parti Pejuang - Peguam
BACA: Selepas Pejuang, permohonan pendaftaran MUDA turut ditolak
Dalam perkembangan sama, Phahrolrazi berkata persiapan PH Kedah dalam menghadapi PRU15 kini sudah berada pada tahap melebihi 50 peratus.
Tambahnya, perbincangan lanjut juga ketika ini banyak menjurus kepada pembahagian kerusi yang ditandingi Bersatu dalam PRU14 memandangkan parti itu kini tidak lagi merupakan rakan kompenen PH.
Katanya, PH Kedah juga telah memutuskan, mana-mana parti kompenen iaitu Amanah, DAP dan PKR yang bertanding atau memenangi mana-mana kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kedah sebelum ini akan diberi peluang untuk bertanding semula di kawasan berkenaan.
Beliau juga menyasarkan PH memenangi lebih daripada 20 kerusi DUN di Kedah sekali gus dapat merampas semula pentadbiran negeri itu.
Komposisi kedudukan kerajaan negeri Kedah ketika ini menyaksikan gabungan ADUN PAS-UMNO-Bersatu yang membentuk kerajaan baharu negeri pada Mei memiliki kekuatan 23 ADUN.
Di pihak pembangkang menyaksikan PH dengan 11 ADUN yang diwakili PKR (lima), Amanah (empat) dan DAP (dua) selain Pejuang (dua).
Terdahulu, Phahrolrazi ditemui selepas Majlis Jamuan Kesyukuran sempena Pembukaan Pejabat Ketua Pembangkang DUN Kedah di Wisma Darul Aman pada Khamis.
#PH #Kedah #Pejuang #kerjasama #PRU15 #timbalan pengerusi #PH Kedah #Phahrolrazi Mohd Zawawi #menerima pejuang #merampas kerajaan negeri
;