PH Johor ada ramai calon Menteri Besar - Muhyiddin

Hakim Rahman
Mei 3, 2018 19:47 MYT
MUHYIDDIN: Kami tahu situasi di Johor sengit. - Gambar fail
Pakatan Harapan (PH) Johor mempunyai hampir 10 calon yang boleh diketengahkan sebagai Menteri Besar sekiranya mereka berjaya menawan negeri itu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) 9 Mei ini.
Timbalan Presiden Pakatan Harapan (PH) Tan Sri Muhyiddin Yassin bagaimanapun berkata, tindakan tidak mengumumkan siapakah calon-calonnya merupakan satu strategi politik.
"Tidak mengapa (tidak mengumumkan calon menteri besar), ia merupakan strategi kami kerana kami tahu situasi di Johor sengit dan ada beberapa perkara yang kami perlu pertimbangkan.
"Saya tidak perlu menerangkan kenapa dan mengapa, tetapi ia tidak jadi isu dan masalah. Dalam pengalaman saya ada juga negeri-negeri yang telah menang mereka tidak mengumumkan siapa calon menteri besar sebelum itu," katanya.
Beliau mengulas kenyataan Pengeusi BN Negeri, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang mempersoal tindakan (PH) kerana tidak menamakan calon Menteri Besar mereka sekiranya pakatan itu memenangi Johor pada PRU14 nanti.
Tambah Khaled, tindakan Tan Sri Muhyiddin Yassin bertanding di dua kerusi iaitu di DUN Gambir dan juga mempertahankan kerusi Parlimen Pagoh menunjukkan beliau ingin menjadi menteri besar.
"Tetapi kalau dia (Muhyiddin) mahu menjadi Menteri Besar, kenapa tidak diumumkan? Rakyat mahu tahu. Kalau tidak ia bermakna keputusannya untuk bertanding di Gambir hanya bertujuan untuk memenangi undi," katanya selepas merasmikan pembukaan empat jambatan di Sengkang, Tangkak pagi tadi.
Perebutan kerusi DUN Gambir menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara penyandang Datuk M. Asojan (BN), Muhyiddin (PKR) dan Datuk Dr Mahfodz Mohamed (Pas).
#Barisan Nasional #BN #calon menteri besar #Johor #MalaysiaMemilih #Mohamed Khaled Nordin #Muhyiddin Yassin #Pakatan Harapan #pilihan raya #strategi politik
;