PH janji tidak ubah apa-apa fasal Melayu dalam Perlembagaan - Anthony Loke
Wan Syamsul Amly
Mei 3, 2018 04:04 MYT
Mei 3, 2018 04:04 MYT
Pakatan Harapan (PH) berjanji tidak akan mengubah apa sahaja perkara atau fasal di dalam Perlembagaan melibatkan agama Islam dan keistimewaan Melayu.
Setiausaha Organisasi Nasional DAP Anthony Loke berkata, ia termasuk bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan isu berkenaan hak-hak orang Melayu.
"Kita hendak lawan rasuah, bukan lawan Melayu. Kita mahu menyatupadukan semua bangsa," katanya semasa ucapan penutup Majlis Jelajah Harapan di sini hari ini.
Sebelum ini, Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairul Azwan Harun berkata, pemimpin DAP yang dilihat lantang menyemarakkan api perkauman ketika berceramah sepanjang tempoh kempen Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) diminta menghentikannya kerana ia akan mengeruhkan hubungan baik sesama kaum.
Tegasnya, ia berikutan pelbagai insiden dan laporan yang diterima Pemuda UMNO berhubung budaya politik samseng pemimpin DAP yang ketika ini dilihat keterlaluan, termasuk menghina dan mengeluarkan kata-kata kesat.
Tegas Khairul Azwan, segelintir pemimpin DAP yang melampau itu harus menyedari bahawa mereka tidak sepatutnya memainkan api perkauman dan merosakkan keharmonian dan hubungan baik kaum semata-mata untuk berkuasa.