PH ingat dia boleh menang, kalau orang tahu dia gagal tunai manifesto? - Najib
Firdaus Malek, Firdaus Azil
November 22, 2018 15:23 MYT
November 22, 2018 15:23 MYT
Sekiranya rakyat mengetahui lebih awal Pakatan Harapan (PH) tidak akan mampu sama sekali menunaikan manifesto pilihan raya umum mereka, apakah rakyat akan mengundi pakatan parti politik itu?
Menurut bekas Perdana Menteri, beliau berkata, soalan ini harus dilontarkan kembali kepada masyarakat selepas mengambil kira, apa yang beliau dakwa, kegagalan kerajaan kini dalam mengotakan janji mereka.
“Saya nak buat satu gambaran, kalau sekiranya masa pilihan raya itu, PH buat manifesto seperti mana berlaku hari ini - harga minyak akan diapungkan, tol akan kekal,. PTPTN kena bayar balik. Dan lain-lain lagi.
“Kalau sekiranya manifesto (yang dibuat) itu yang melambangkan apa berlaku hari ini dan ia dipaparkan pada pengundi. Saya nak tanya PH boleh menang?” soalnya kembali dalam satu wawancara khas bersama Sinar Harian hari ini.
Ahli Parlimen Pekan itu turut berkata, PH sebenarnya tahu, jauh di sudut hati mereka, manifesto itu sukar dilaksanakan, namun mereka mengambil kesempatan atas hasrat masyarakat yang mahu menukar kerajaan.
“Ini ada kaitan dengan soal integriti. Selalu kita sebut nak tegakkan integriti. Orang ingat integriti ini soal rasuah saja. Tapi moral integrity? Bila kita janji pada orang pada rakyat, itu moral integrity. Dan kalau mungkir janji, hukum dia apa? Haram...,” kata bekas Presiden UMNO itu lagi.
Ditanya sama ada penolakan ke atas Barisan Nasional itu berlaku atas sebab manifesto semata-mata PH yang didakwa lebih indah semata-mata, Najib berkata, rakyat sepatutnya ketika itu sedar, ianya sukar dilaksanakan.
“Kita beritahu bahawa, nak mengurangkan harga minyak tak boleh, sebab masa itu setiap bulan kita dah ada subsidi RM600 juta untuk tiap-tiap bulan..
“Kalau nak kurang (harga minyak) daripada RM2.20 kepada RM1.50, RM600 juta itu akan jadi RM2bilion setengah tiap tiap bulan. Memang tak boleh. Tapi rakyat dengan digulakan, dengan janji manis ini, rakyat fikir tak apa lah kita bagi peluang. Kita menantikan sesuatu yang mungkin jauh lebih baik,” katanya lagi.
#Barisan Nasional
#kerajaan
#Manifesto
#menteri
#Najib Razak
#Pakatan Harapan
#Parlimen
#Perdana Menteri
#pilihan raya
#pilihan raya umum
#subsidi
#UMNO