PH hanya tahu cari salah Sembrong - Hishammuddin
Astro Awani
Oktober 21, 2019 17:52 MYT
Oktober 21, 2019 17:52 MYT
Pakatan Harapan (PH) kini takut dengan bayang-bayang sendiri kerana masih mempunyai mentaliti pembangkang walaupun sudah hampir dua tahun menjadi kerajaan.
Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein menegaskan, mereka tidak langsung menunjukkan kerisauan walaupun ekonomi negara semakin teruk, nasib rakyat tidak terbela dan janji-janji sebelum ini yang tidak tertunai.
"Apa yang mereka tahu adalah mencari salah Barisan Nasional (BN), UMNO dan Sembrong. Bila kita jawab, mulalah mereka 'tukar tiang gol' dan timbulkan isu baru.
"Sampaikan saya yang tidak berjawatan pun hendak diserang. Padahal, mereka yang bermasalah sehingga terpaksa timbulkan isu lain untuk tutup kelemahan sendiri.
"Cukup-cukuplah dengan drama, spekulasi dan konspirasi. Cerminlah diri sendiri, muhasabahlah dan buatlah kerja," katanya dalam satu hantaran terbaru di akaun Facebooknya pada Isnin.
Hishammuddin sebelum ini menegaskan, semua ahli UMNO perlu bersatu padu dan berganding bahu demi menjayakan agenda parti bersama.
Dalam pada itu katanya, semua yang pemimpin dipilih rakyat perlu memberi bantuan sebaiknya kepada mereka.
"Jangan asyik hendak berpolitik, anda diberi mandat memimpin negara, pimpinlah betul-betul
"Tetapi apa terjadi, semakin hari semakin bercelaru politik negara. Inilah akibatnya bila kerajaan tidak buat kerja betul-betul.
"Mereka tahu hendak buat spekulasi dan konspirasi sahaja. Sampaikan siapa kerajaan, siapa pembangkang pun, rakyat sudah keliru," jelasnya.
#agenda
#Barisan Nasional
#ekonomi
#kerajaan
#Pakatan Harapan
#Parlimen
#pembangkang
#politik
#rakyat
#UMNO