"PH dibonsaikan Tun M? Itu analogi salah" - Zuraida

Isabelle Leong
Oktober 1, 2019 15:51 MYT
Menganggap beberapa pemimpin politik senior dalam Kabinet sudah dibonsaikan oleh Dr Mahathir Mohamad merupakan dakwaan yang tidak berasas, kata Zuraida Kamaruddin.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin membidas kenyataan bekas Timbalan Presiden PKR, Syed Husin Ali yang menganggap beberapa pemimpin politik senior dalam Kabinet sudah ‘dibonsaikan’ oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Zuraida berpendapat, bonsai merupakan sesuatu tumbuhan yang menarik untuk dibela dan bukan seperti yang dianggap oleh Syed Husin.
“Pada pandangan saya, bonsai merupakan tumbuhan yang sangat mantap atau produktif dan stabil.
“Oleh itu, saya rasa bonsai merupakan analogi yang salah,” kata Zuraida pada sidang media selepas merasmikan Kertas Putih An Advanced Plastics Recycling Industry For Malaysia di Universiti Monash, Subang Jaya pada Selasa.
Turut hadir ialah Naib Presiden Persatuan Pengeluar Plastik Malaysia (MPMA), CC Cheah serta Timbalan Ketua (Kajian) Sekolah Perniagaan Universiti Monash Malaysia, Prof Pervaiz K Ahmed.
Syed Hussin, katanya mungkin tidak mengetahui apa yang berlaku dalam Kabinet sehingga boleh mengeluarkan pelbagai teori.
“Pada mesyuarat Kabinet, kami mengetengahkan dan menyampaikan pandangan kami. Oleh itu, semua keputusan yang dibuat secara konsensus dan bukannya dibuat oleh Perdana Menteri seorang diri sahaja.
“Syed Husin perlu tahu dan faham tentang hal tersebut,” ujarnya.
Pada Ahad lalu, pengasas PKR tersebut mengecam pemimpin Pakatan Harapan (PH) dan mendakwa mereka tidak mampu membantah Mahathir.
Memetik laporan Malaysiakini, Syed Husin juga berkata Majlis Presiden mempunyai kuasa tertinggi dalam parti gabungan tersebut dan boleh menentukan bila perdana menteri yang ketujuh tersebut perlu serahkan jawatannya.
“Rakyat tertanya-tanya apakah Anwar Ibrahim, Muhyiddin Yassin, Mohamad Sabu dan Lim Kit Siang sudah dibonsaikan oleh Mahathir?” katanya.
#Anwar Ibrahim #bekas Timbalan Presiden PKR #bonsai #dibonsaikan #Lim Kit Siang #Menteri Perumahan Dan Kerajaan Tempatan #Mohamad Sabu #Muhyiddin Yassin #Perdana Menteri #Syed Husin Ali #Zuraida Kamaruddin
;