PH, BN setuju penyandang kerusi DUN kekal tanding PRN - Saifuddin Nasution

Dewi Nur Harasha Alias
April 8, 2023 22:44 MYT
Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail ketika bertemu para pengamal media selepas Majlis Penerapan Nilai-Nilai Murni dan Iftar KDN Madani hari ini.
BAYAN BARU: Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) sebulat suara untuk mengekalkan penyandang parti bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, perkara itu dipersetujui selepas perundingan dibuat kedua-kedua pihak baru baru ini.
Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri itu berkata, setakat ini perbincangan pusingan pertama telah selesai di mana PH dan BN memutuskan beberapa parameter memandu proses PRN antaranya untuk mengekalkan kerusi penyandang.
Selain itu, Saifuddin berkata, rundingan berkaitan PRN sedang berlangsung di beberapa buah negeri, bagaimanapun, agihan dan penambahan kerusi akan diselesaikan di peringkat negeri kepimpinan PH dan BN negeri.
"Keputusan yang kita buat di peringkat sekretariat, dan kita kena perturunkan ke bawah, perundingan di beberapa negeri sedang berlaku... kita ada masa lagi, yang penting kita setuju dengan parameters itu penting, antaranya 'incumbent seat' itu kekal.
"Bila dijangka akan selesai? Selalunya sebelum penamaan calon.
Ketika diitanya mengenai peratusan untuk calon muda, Saifuddin Nasution berkata perkara itu merupakan urusan parti.
"Kita tak sebut, itu urusan parti.(Berhubung permintaan penambahan kerusi) mereka perlu selesaikan di peringkat negeri. Jika tak selesai di peringkat negeri, ia akan diserahkan kepada pimpinan pusat untuk kami uruskan," ujarnya.
Saifuddin berkata demikian kepada media selepas menghadiri majlis Penerapan Nilai-Nilai Murni dan Iftar KDN Madani, di Bayan Baru, Pulau Pinang malam Sabtu.
Hadir sama ialah Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani; Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain.
Pada PRU 15 lepas, enam negeri iaitu Pulau Pinang, Kedah, Negeri Sembilan, Selangor, Terengganu, dan Kelantan tidak membubarkan DUN serentak dengan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) November tahun lalu .
Berikutan itu, keenam- enam negeri berkenaan dijangka akan membubarkan DUN masing- masing Jun ini bagi membolehkan PRN diadakan antara Julai hingga Ogos ini.
#PRN #PH dan BN #penyandang kerusi #Saifuddin Nasution Ismail
;