PH atau Pas, kalau menang turunlah selalu - Pengundi Seri Setia
Rahimah Abdullah
September 7, 2018 17:25 MYT
September 7, 2018 17:25 MYT
"Kami mahu wakil rakyat selalu turun padang dan bukan hanya muncul pada musim pilihanraya”
Itu antara luahan pengundi DUN Seri Setia kepada bakal Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di kawasan itu.
Seorang penduduk, Akhyar Dahlan mahu ADUN yang menang di kawasan itu nanti akan prihatin dengan nasib rakyat terutama di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR).
Antara isu yang perlu dititikberatkan ialah masalah sosial melibatkan penghuninya.
“Isu sosial kurang sebab dulu masalah lif sudah selesai, masalah sosial nak bendung sebab ada melibatkan orang luar. Kalau nak dikawal sangat banyak orang sewa. Tak boleh kawal sangat sebab benda tu hak kita. Terbuka pada sesiapa sahaja untuk menyewa,” katanya.
Penduduk juga mahu ADUN berkenaan mendampingi rakyat dan mengambil tahu permasalahan mereka.
“ADUN ini saya tak kisah dari PH atau Pas kalau menang kena turun selalu. Kena tanya masalah dekat sini. Jadi boleh dapat input daripada penduduk di sini. Kalau tidak turun susah sikitlah,” tambahnya.
Seorang lagi penduduk, Baharuddin Sulaiman mahu wakil rakyat yang menang mewujudkan lebih banyak tempat rekreasi untuk anak muda dan kanak-kanak di Seri Setia.
“Masalah sini contoh tempat permainan, futsal, berebut. Budak kecil padang permainan takde. Ada tapi gelap ada botol pecah. Saya tak kira mana kalau menang harap turun padang. Jangan sekadar PRK baru turun padang. Tiada guna,” ujarnya.
PRK Seri Setia bakal menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara capon Pakatan Harapan (PH), bekas Ahli Majlis MBPJ, Halimey Abu Bakar, manakala Pas menampilkan Dr Halimah Ali.
PRK Seri Setia diadakan selepas kematian penyandangnya, Prof Dr Shaharuddin Badaruddin 2 Ogos lalu.
#ADUN
#calon
#DUN Seri Setia
#Pakatan Harapan
#PAS
#pengundi
#pilihanraya
#pilihanraya kecil
#PKR
#PRK
#rakyat
#seri setia
#turun padang
#wakil rakyat